Monday , 23 December 2024
Home Politik Isu Laut China Selatan bakal diketengah PM Sidang Kemuncak ASEAN di Laos
Politik

Isu Laut China Selatan bakal diketengah PM Sidang Kemuncak ASEAN di Laos

ANWAR IBRAHIM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan yang dijadualkan berlangsung hari ini hingga 11 Oktober di Vientiane, Laos.

Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, Perdana Menteri turut menghadiri Sidang-sidang Kemuncak antara ASEAN dan tujuh Rakan Dialog iaitu, Australia, China, Jepun, India,Korea, Amerika Syarikat dan Kanada.

Ini termasuk menyertai Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur, dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Selain itu, Perdana Menteri menghadiri Mesyuarat Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia, sesi-sesi sua muka antara Pemimpin-pemimpin ASEAN dengan wakil-wakil dari Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), wakil-wakil Belia ASEAN dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ABAC).

“Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan akan memberi peluang bagi Malaysia berkongsi perspektif negara secara aktif dan bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu,” katanya hari ini.

Wisma Putra berkata, antara isu yang bakal diketengahkan ialah usaha pembangunan komuniti ASEAN dan Visi Komuniti ASEAN 2045, keamanan dan kestabilan rantau, integrasi ekonomi serantau, ekonomi hijau, teknologi baharu dan baru muncul.

Ini termasuk isu peralihan tenaga, keterjaminan makanan dan proses ke arah keahlian penuh Timor-Leste dalam ASEAN, dan hubungan ASEAN dengan rakan-rakan luar.

Katanya, Malaysia juga akan menyatakan kedudukannya berkaitan isu Laut China Selatan, dan perkembangan di Myanmar, Palestin dan Timur Tengah.

“Penglibatan Malaysia dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan menzahirkan komitmen teguh Malaysia terhadap ASEAN, usahanya untuk meningkatkan kerjasama dan integrasi serantau.

“Ia selain mempromosi dan mengekalkan keamanan, kestabilan, dan kemakmuran di dalam dan luar Asia Tenggara,” katanya.

Semasa majlis penutup sidang kemuncak itu, Laos sebagai Pengerusi ASEAN 2024 akan menyerahkan jawatan Pengerusi kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025.

Sebelum sidang kemuncak itu, Menteri Luar Negeri akan menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN ke-58, Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN ke-28 dan Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN ke-35. – UTUSAN

Related Articles

Politik

Bersatu perlu terbuka serah mandat Pas kemudi PN

Bersatu didakwa semakin lemah dan Pas patut diberi laluan kemudi PNPETALING JAYA:...

Politik

Kerugian FashionValet boleh bantu ratusan usahawan bumiputera

Dr. Kelvin Yii Lee WuenKUALA LUMPUR: Kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta dicatatkan...

Politik

Radzi, Ronald, Peja menang jawatan Naib Presiden Bersatu

Ronald Kiandee (kiri), Ahmad Faizal Azumu (dua kiri) dan Radzi Jidin (kanan)...

Politik

‘Guan Eng jangan menangis minta bantuan lagi’

LIM GUAN ENGKUALA LUMPUR: Sebilangan kecil pemimpin Kerajaan Perpaduan didakwa masih terbawa-bawa...