SEREMBAN: Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali sebagai Chegubard memenangi jawatan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Port Dickson dalam pemilihan yang diadakan pada Persidangan Bersatu Bahagian Port Dickson malam semalam.
Beliau yang merupakan Timbalan Ketua Bersatu Cawangan Telok Kemang menewaskan Ketua Bersatu Cawangan Linggi, Datuk Zamri Md Said.
Pada pemilihan yang dihadiri seramai 165 orang perwakilan itu turut menyaksikan jawatan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Port Dickson dimenangi oleh Akklil Aizat Othman manakala naib ketua bahagian dimenangi oleh Mohd. Shuhazlan Ali.
Badrul Hisham turut bertanding bagi jawatan peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada pemilihan parti berkenaan.
Sementara itu, di Bahagian Seremban pula menyaksikan jawatan ketua dimenangi oleh Ketua Bersatu Cawangan Batang Benar, Wan Nasry Ahmad.
Beliau menewaskan tiga calon lain iaitu Ketua Bersatu Cawangan Nilai, Mohd. Herman Hassan,Ketua Cawangan Bersatu Ampangan, Aslam Nawabdin dan ahli Bersatu Cawangan Kampung Gebok, Ahmad Aidy Talib.
Satu lagi bahagian yang menyaksikan pertandingan semalam adalah Kuala Pilah yang menyaksikan Ketua Bersatu Cawangan Tengkek, Mohd. Zuhaimi Md Yusof menang bagi jawatan Ketua Bahagian Bersatu Kuala Pilah.
Empat lagi bahagian di negeri iaitu Jempol, Rembau, Rasah dan Jelebu menyaksikan semua calon menang tanpa bertanding manakala satu bahagian tidak layak melaksanakan pertandingan iaitu Bahagian Tampin.-UTUSAN.