KUALA LUMPUR, 8 Mac- Golongan wanita diiktiraf sebagai tunjang utama dalam institusi keluarga, masyarakat, dan negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau menegaskan, wanita bukan sahaja memainkan peranan sebagai ‘madrasah pertama’ dalam mendidik keluarga, malah menjadi simbol kekuatan dan ketabahan dalam membangunkan masyarakat serta negara.
“Sempena Hari Wanita Sedunia 2025, kita bukan sahaja meraikan sumbangan wanita, tetapi turut memperkukuh komitmen untuk memperkasakan mereka melalui dasar-dasar inklusif demi kesejahteraan negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut Datuk Seri Fadillah, penglibatan wanita dalam arena politik juga menunjukkan perkembangan positif dengan peningkatan jumlah Ahli Parlimen wanita, sekali gus mencerminkan kepimpinan negara yang semakin inklusif.
Dalam konteks sosial dan ekonomi, beliau turut menekankan pentingnya menangani jurang pendapatan antara wanita dan lelaki, memperkukuh perlindungan sosial, memastikan hak kesihatan wanita terjaga serta memerangi keganasan terhadap wanita.
Beliau berkata tema sambutan tahun ini, ‘Wanita Beraspirasi Membina Legasi’, membawa makna besar sebagai simbolik penghargaan kepada semua wanita tanpa mengira latar belakang, etnik, bahasa, budaya, ekonomi atau politik.
“Tema ini melambangkan semangat wanita untuk mencapai impian dan merealisasikan perubahan yang berkekalan,” tambahnya.
Seiring dengan itu, Datuk Seri Fadillah memaklumkan bahawa kerajaan MADANI terus komited memperkasa wanita menerusi pelbagai inisiatif yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2025.
“Hanya dengan kerjasama semua pihak, kita mampu memastikan peranan wanita terus dihargai dan hak mereka sentiasa terpelihara,” katanya.