Home Nasional UUM anjur persidangan antarabangsa i-COME’24
Nasional

UUM anjur persidangan antarabangsa i-COME’24

UUM anjur persidangan antarabangsa i-COME’24

Foto UUM

SINTOK, 1 September– Penganjuran International Conference on Communication and Media (i-COME’24) kali ke-9 yang dijadual pada 14 hingga 15 Oktober tahun ini, diadakan secara hibrid iaitu secara dalam talian dan bersemuka melibatkan peserta dari dalam dan luar negara.

Fokus tahun ini adalah “Menggubah Masa Hadapan Kita: Mengharmonikan Kesejahteraaan, Etika dan Tanggungjawab Dalam Komunikasi” dan pembentang kertas kerja dan kajian turut memberi tumpuan kepada pembangunan Kecerdasan Buatan (AI) yang sangat pantas berkembang ketika ini.

Subtema persidangan pula merangkumi topik-topik seperti Komunikasi Organisasi, Komunikasi untuk Perubahan Sosial, Komunikasi Antarabudaya, Komunikasi Politik, Media dan Kewartawanan, Komunikasi dan Pendidikan, Komunikasi Persekitaran, Isu-isu Sosial Siber, Pengiklanan dan Pemasaran serta Multimedia.

Persidangan sebelumnya iaitu i-COME’22 anjuran Program Komunikasi Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM) ini, berjaya mengangkat dan membincangkan pelbagai isu berkaitan dunia komunikasi dan media yang telah melalui proses transformasi disebabkan dorongan pelbagai bentuk teknologi. Seramai 45 pembentang dari tujuh institusi pengajian tinggi tempatan dan 27 pembentang kajian dari Indonesia, Thailand, China, Hong Kong, Macau, Pakistan, Algeria dan Jordan terlibat pada persidangan i-COME’22.

Dekan SMMTC, Prof. Madya Dr. Mohd Khairie Ahmad berkata, bagi i-COME’24, tajuk yang dipilih dilihat sangat bertepatan dengan ekosistem media dan komunikasi pada masa sekarang yang dicorakkan oleh kemajuan teknologi khususnya kecerdasan buatan.

Selain itu, ia diharap dapat menarik perhatian semua pihak mengenai pentingnya mereka terlibat dalam membentuk lanskap komunikasi dan media masa hadapan yang lebih harmoni dengan mengambil kira kesejahteraan setiap insan, menggunakan teknologi komunikasi dan media dengan lebih beretika serta mengutamakan kebertanggungjawaban apabila berkomunikasi sama ada menerusi penggunaan teknologi atau bersemuka.

“Perkembangan teknologi AI menjadi tumpuan kerana ada isu-isu yang perlu ditangani antaranya maklumat salah dan maklumat palsu yang merangkumi penyebaran berita palsu, palsu tulen (deepfake) yang dijana oleh AI yang memberi kesan buruk kepada komuniti. Isu lain adalah kebimbangan terhadap privasi memandangkan teknologi memudahkan data peribadi diakses pihak ketiga. Ancaman keselamatan siber seperti kegiatan penggodaman data, penggunaan AI untuk melancarkan serangan siber juga menjadi isu yang perlu ditangani. Selain itu, isu etika berkaitan AI yang cenderung berat sebelah dalam penjanaan datanya perlu difahami sebelum digunakan dengan meluas,” jelas Dr. Mohd Khairie.

Dengan itu, menerusi i-COME’24, semua isu semasa, cabaran dan potensi berkaitan peranan komunikasi dan media dalam mengukuhkan kesejahteraan hidup, amalan beretika dan kebertanggungjawaban individu serta organisasi akan dibincangkan dengan mendalam dalam persidangan ini nanti.

“Persidangan kali ini turut bermatlamat menjana perkongsian pemikiran dan pengalaman akademik serta pihak profesional berkaitan komunikasi, media, kesejahteraan hidup, etika dan tanggungjawab individu dan organisasi. Ia menjadi platform kepada para sarjana, penyelidik industri, agensi awam, penggerak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan para pelajar yang berkongsi minat dalam menggubah lanskap komunikasi dan media untuk masa hadapan.

”Para peserta juga berpeluang membina dan mengukuhkan rangkaian global terdiri daripada para sarjana dan pengamal media di dalam bidang media dan komunikasi. Selain itu, i-COME’24 akan menerbitkan karya ilmiah berkaitan bidang ini menerusi penerbitan berimpak tinggi seperti prosiding di Advances in Social Science, Education and Humanities Research dan Asian People Journal (APJ)” menurut Dr. Mohd Khairie lagi.

Seramai 45 pembentang dari pelbagai universiti dalam negara dan 27 pembentang antarabangsa dari institusi luar negara bakal terlibat untuk persidangan kali ini iaitu dari Indonesia, India, Pakistan dan China.

Pengarang Unit Kewartawanan Data Bernama, Sakina Mohamed akan membentangkan ucaptama bagi sesi pertama dengan tajuk “From Data to Dialogue: Building Ethical Communication for a Harmonious Future”dan diikuti pembentang ucaptama sesi kedua oleh Prof. Dr. Sun Sun Lim dari Singapore Management University, dengan tajuk “Communicating Effectively and Ethically in the Face of AI Acceleration: Harnessing Possibilities, Circumventing Pitfalls”.

“Penganjuran i-COME’08 hingga i-COME’22 telah berjaya mengumpulkan para sarjana tempatan dan antarabangsa untuk berbincang, meneroka dan mengambil tindakan susulan berkaitan isu-isu media dan komunikasi. Bagi i-COME’22, 47 penerbitan berindeks telah diterbitkan menerusi Atlantis Press dan Journal of Indonesian Economy and Business,” jelas Dr. Mohd Khairie.

Beliau yakin, i-COME’24 yang bakal diadakan ini dapat terus menyuburkan wacana akademik dan penyelidikan dalam kalangan ahli akademik dan profesional tempatan serta antarabangsa bagi mengharungi perubahan global di dalam bidang komunikasi dan media.

Related Articles

40,000 benih ikan air tawar dilepaskan di Perairan Sungai Kampung Kuala Paya
Nasional

40,000 benih ikan air tawar dilepaskan di Perairan Sungai Kampung Kuala Paya

FOTO FB Zahari SaripSEGAMAT, 2 November- Sebanyak 40,000 benih ikan air tawar...

Khazanah, PNB perjelas isu pelupusan pegangan dalam FashionValet
Nasional

Khazanah, PNB perjelas isu pelupusan pegangan dalam FashionValet

FOTO HIASANKUALA LUMPUR, 2 November- Khazanah Nasional Bhd dan Permodalan Nasional Bhd...

Usahawan muda diberi peluang kembangkan potensi ke peringkat lebih tinggi
Nasional

Usahawan muda diberi peluang kembangkan potensi ke peringkat lebih tinggi

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof/ BERNAMAKUALA LUMPUR, 1 November– Usahawan...

Kesalahan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak meningkat 21.1% pada 2023
Nasional

Kesalahan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak meningkat 21.1% pada 2023

FOTO HIASANPUTRAJAYA, 1 November- Kesalahan amang seksual secara fizikal terhadap kanak-kanak pada...