ALOR SETAR, 1 Oktober- Masalah penyalahgunaan dadah khususnya melibatkan golongan remaja dan belia yang membimbangkan perlu ditangani secara tuntas.
Selain mencegah daripada terpengaruh dengan gejala negatif itu, mereka yang telah terjebak dengan aktiviti tersebut juga tidak harus dipinggirkan oleh masyarakat.
Sebaliknya mereka perlu dirawat dan dipulihkan dengan sokongan dan kerjasama erat semua pihak.
Timbalan Dekan Ghazali Shafie Graduate School Of Goverment (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Kamarul Azman Khamis berkata selain penguatkuasaan undang-undang, aktiviti pencegahan dan kempen kesedaran perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
Ia terutama di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi berlakunya aktiviti penyalahgunaan dadah.
\”Di sini juga satu program yang diadakan turun sekali daripada pegawai-pegawai antidadah, pesuruhjaya yang membantu dari segi penyelesaian, yang membantu dari segi input, info dan sebagainya, pencerahan kepada pelajar ataupun mahasiswa.
\”Saya yakin dan percaya program ini sekiranya kita teruskan lagi pada masa-masa akan datang insya-Allah kita mengharapkan belia benci dadah akan dapat dilaksanakan di semua IPT dan belia-belia di Malaysia,\” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Satu Jenayah Satu Hukuman anjuran Skuad Anti Dadah Kota Setar dan Pokok Sena di Kolej Poly Tech MARA (KPTM) Alor Setar.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), jumlah penyalahgunaan dan penagihan dadah di Kedah mencatatkan peningkatan daripada 13,267 orang pada tahun 2022 kepada 13,974 orang pada tahun 2023.
Ia meningkat sebanyak 5.3 peratus.
Daripada jumlah itu, Daerah Kota Setar mencatat bilangan tertinggi iaitu 3,165; Kuala Muda, 1,935; dan Kubang Pasu, 1,665 orang.
Lima daerah mencatat peningkatan kes pada tahun 2023 berbanding sebelumnya iaitu Baling, Kuala Muda, Kubang Pasu, Kulim, dan Padang Terap.