TANJONG MALIM, 23 Julai– Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mewujudkan jawatan Timbalan Dekan (Jaringan Industri dan Pengkomersialan) bagi mengukuhkan pentadbiran terutama daripada aspek jaringan industri dan pengkomersialan.
Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata UPSI bakal menyasarkan lebih banyak jalinan kerjasama dengan pihak industri, sebagai usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Tambahnya, selain mahasiswa UPSI menjalani latihan mengajar di sekolah-sekolah bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), mereka juga menjalani latihan industri dengan syarikat-syarikat korporat yang menjalin kerjasama dengan universiti berkenaan.
Justeru, UPSI bertindak proaktif dengan melantik tiga akademia yang sesuai dengan potensi untuk menjadi Timbalan Dekan (Jaringan Industri dan Pengkomersialan) bagi fakulti masing-masing.
Mereka adalah Dr. Muhamad Hariz Muhamad Adnan (Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi), Dr. Izzal Khairi Ramli (Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif) dan Dr. Nor Mashitah Mohd Radzi (Fakulti Pembangunan Manusia), berkuat kuasa 16 Julai 2024.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Suriani Abu Bakar menzahirkan ucapan tahniah kepada tiga akademia berkenaan yang diharap dapat membawa kecemerlangan kepada fakulti masing-masing.
“Pelantikan ini adalah satu langkah penting untuk memperkukuh jaringan antarabangsa, meningkatkan kualiti pendidikan dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat.\”
“Industri akan mendapat manfaat daripada hasil penyelidikan dan perundingan dalam bentuk pengkomersilan produk penyelidikan, inovasi dan kepakaran warga UPSI,” kata Profesor Dr. Suriani.