KUALA KANGSAR, 9 Mac-Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan menerima zakat perniagaan berjumlah RM3,064,237.08 juta daripada empat syarikat korporat kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di sini, pada Sabtu.
Sultan Nazrin turut berkenan menunaikan pembayaran zakat fitrah kepada Pengurus Besar Single Business Unit (SBU) Pungutan Zakat dan Wakaf MAIPk, Ahmad Nazim Md Tajuri pada majlis berkenaan.
Penyerahan zakat berkenaan didahului syarikat BELATI yang diwakili pengarahnya, Mohamad Akmal Datuk Johari dengan menyerahkan zakat berjumlah RM885,000.00.
Johawaki Plantation Sdn Bhd yang diwakili Ketua Pegawai Operasinya, Anizam Bakar menyerahkan zakat berjumlah RM290,000 manakala Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak diwakili Mohd Azhar Mohd Yusof yang menjalankan tugas Ketua Pegawai Eksekutif menyerahkan zakat berjumlah RM1,089,237.08.
Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan yang diwakili Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Zulkefli Abdullah menyerahkan zakat berjumlah RM800,000.
Terdahulu pada sebelah petang Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara mengunjungi Pasar Ramadan di Arena Square, Kuala Kangsar.
Baginda berdua meluangkan masa kira -kira 30 minit melawat gerai jualan dan beramah mesra bersama peniaga dan pengunjung serta turut membeli beberapa juadah berbuka .