Home Nasional SSPA: Kadar pencen pesara dijangka dimuktamad dalam masa terdekat- KSN
Nasional

SSPA: Kadar pencen pesara dijangka dimuktamad dalam masa terdekat- KSN

SSPA: Kadar pencen pesara dijangka dimuktamad dalam masa terdekat- KSN

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 14 Disember– Kerajaan dijangka memuktamadkan kadar pencen di bawah Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi golongan pesara dalam masa terdekat, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata buat masa ini perkara tersebut sedang diperhalusi daripada pelbagai aspek dan ia akan dibawa ke Mesyuarat Kabinet, Jumaat depan.

\”Kita tengah perhalusi, minggu hadapan kita akan bawa balik ke Kabinet dan kita akan putuskan,\” katanya dan menyatakan bahawa kemungkinan akan ada berita baik yang diumumkan kelak.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (KOPROJAYA) ke-9 di sini hari ini.

Dilaporkan kira-kira 900,000 pesara kerajaan masih menunggu penjelasan rasmi mengenai kadar pencen mereka, iaitu sama ada ia akan diselaraskan mengikut skim gaji baharu atau tidak.

Pada 31 Oktober, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata pesara kerajaan juga akan menerima manfaat daripada SSPA, apabila pencen yang diterima itu diselaraskan.

Beliau berkata pelarasan itu akan menambah peratusan pencen diterima pesara menerusi persetujuan oleh kerajaan, sekali gus membolehkan kumpulan itu menikmati kenaikan seperti diperoleh penjawat awam yang masih berkhidmat.

Sementara itu, ditanya sama ada kerajaan akan memberi peluang kedua (seperti pelanjutan tempoh tandatangan) kepada mereka yang tidak menandatangani opsyen SSPA, Shamsul Azri berkata ketika ini kerajaan fokus kepada pelaksanaan fasa pertama SSPA itu.

\”Sekarang ini kita fokus kepada yang tanda tangan dulu dan kita lihat kepada hasilnya, kita akan tengok kemudian. Kita selesaikan dahulu pasal pelaksanaan fasa pertama ini,\” katanya.

Dilaporkan hanya 0.13 peratus atau 1,400 orang daripada 1.5 juta penjawat awam tidak menandatangani opsyen SSPA yang tamat pada 30 November.

Dalam perkembangan lain, beliau turut berpuas hati dengan gerak kerja penjawat awam yang dimobilisasikan ke kawasan terjejas banjir menerusi Skuad Ihsan MADANI.

Shamsul Azri berkata lebih 1,000 penjawat awam daripada pelbagai kementerian telah digerakkan untuk menjalankan kerja pemulihan pasca banjir di beberapa negeri yang terjejas.

\”….sangat positif (kerjasama dan gerak kerja penjawat awam). Kita buat banyak kerja amal seperti cuci masjid, sekolah dan klinik. Kita juga ada pasukan kejuruteraan daripada Jabatan Kerja Raya khas untuk periksa pendawaian dan semua hal teknikal di bangunan kerajaan,\” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan Skuad Ihsan MADANI.

Skuad Ihsan MADANI merupakan cetusan idea beliau untuk penjawat awam diaturgerakkan bagi membantu meringankan beban mangsa yang terjejas akibat banjir.- BERNAMA

Related Articles

UPSI lancar terjemahan pertama buku kepimpinan aktiviti luar
Nasional

UPSI lancar terjemahan pertama buku kepimpinan aktiviti luar

Profesor Madya Dr Mazuki Mohd Yassim (kiri) menyampaikan buku Kepimpinan Berkesan Dalam...

Trump arah henti kajian didakwa punca COVID-19
Nasional

Trump arah henti kajian didakwa punca COVID-19

Donald Trump pada sesi menandatangani perintah eksekutif baharu semalam menamatkan pembiayaan persekutuan...

JKPD Kedah seru pemantauan rapi elak penyeludupan dadah
Nasional

JKPD Kedah seru pemantauan rapi elak penyeludupan dadah

Pengerusi Jawatankuasa Rawatan dan Pemulihan Dadah (JKPD) Negeri Kedah, Dr. Zaki Zamani...

Roti canai terbang Pokok Sena gegar Japan Expo 2025
Nasional

Roti canai terbang Pokok Sena gegar Japan Expo 2025

Aksi lincah Muhammad Muiz Ruzaini mendapat tepukan gemuruh pengunjung Japan Expo 2025....