JOHOR BAHRU, 27 Julai– Johor bercadang untuk melancarkan sekolah rintis Johor, bermula tahun depan.
Hasrat itu selari dengan titah DYAM Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menekankan kepentingan pendidikan berkualiti di negeri itu.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz dalam kenyataannya di Facebook menjelaskan bahawa inisiatif itu akan dilaksana bersama antara kerajaan negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor.
\”Dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor, rintis ini adalah langkah permulaan untuk mencorakkan masa depan pendidikan bangsa Johor yang lebih maju dan berdaya saing,\” kata kenyataan itu.
Sekolah rintis itu akan memberi tumpuan kepada penguasaan sains, teknologi, kejuruteraan, matematik dan bahasa Inggeris.
Bagi peringkat permulaan, inisiatif akan melibatkan dua sekolah rendah dan dua sekolah menengah, yang sedang dikenal pasti oleh jabatan pendidikan negeri.