MELAKA, 21 September – Pemenang kategori terbuka (orang ramai) pertandingan ‘mencari harta karun’ Melaka Explorace 2024 pada 5 Okt depan akan menerima hadiah wang tunai RM10,000.
Selain itu, peserta Melaka Explorace juga berpeluang memenangi sebuah motosikal jenis Yamaha EZ115 melalui cabutan bertuah khas untuk semua peserta.
Manakala juara bagi kategori Media dan kategori Agensi Kerajaan Negeri Melaka/Bernama masing-masing akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000.
Melaka Explorace ini dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Melaka dengan kerjasama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Tarikh tutup penyertaan sempena TMM2024 itu, dilanjutkan sehingga 27 Sept depan.
Peminat pencarian harta karun boleh mendaftar penyertaan Melaka Explorace melalui pautan http://bit.ly/47dSZTi.
Yuran penyertaan bagi Kategori Terbuka adalah sebanyak RM200 sepasukan, terdiri daripada dua hingga empat orang,
Dan RM100 sepasukan bagi Kategori Media serta RM100 sepasukan juga bagi Kategori Agensi Kerajaan Negeri Melaka/Bernama.
Bertemakan \’Mana Lagi, Melaka Ler!\’, Melaka Explorace ini akan berlangsung pada 5 dan 6 Okteober depan.
Peserta akan meneroka keindahan dan keunikan Melaka yang kaya dengan sejarah serta warisan di ketiga-tiga daerah negeri, iaitu Melaka Tengah, Alor Gajah, dan Jasin, melalui aktiviti \’mencari harta karun\’ dengan berjalan kaki, berkenderaan, serta menaiki beca dan bot (river cruise).
Peserta juga perlu memuat naik gambar dan video menarik yang terpilih di media sosial sepanjang Melaka Explorace berlangsung sebagai nilai tambah untuk membolehkan mereka memenangi pertandingan tersebut.
Majlis penyampaian hadiah akan diadakan pada 6 Oktober, dan peserta yang mengenakan busana tradisional yang menggambarkan kepelbagaian masyarakat di Melaka berpeluang memenangi hadiah menarik.- BERNAMA