HULU TERENGGANU, 20 April – Seramai 35 penduduk di Kampung Menerong, di sini menerima manfaat menerusi Projek Ternakan Kelulut Komuniti MADANI yang mula dilaksanakan sejak April tahun lalu.
Projek tersebut dilaksanakan melalui dana inisiatif Sejati MADANI dan Komuniti@uniMADANI, dengan tujuan meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat secara mampan.
Pro Naib Canselor Jaringan Industri, Masyarakat dan Digital, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Dr. Noor Maizura Mohamad Noor berkata projek itu secara purata menjana pendapatan antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan bagi setiap peserta.
“Dua dana berjumlah RM232,000 telah diperuntukkan bagi memulakan projek komuniti ini. Pendekatan kita bukan sekadar memberi bantuan, sebaliknya kita beri ‘kail’ agar penduduk dapat berdikari dan menjana pendapatan secara berterusan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Kampung Angkat MADANI UMT di Kampung Menerong, di sini.
Selain projek ternakan kelulut, usaha baharu sedang dirancang iaitu Projek Tanaman Cendawan Tiram melibatkan 30 peserta dengan peruntukan sebanyak RM50,000.
“Pemberian bantuan tidak boleh bersifat sementara, sebaliknya perlu diteruskan secara konsisten agar impak ekonomi kepada penduduk kampung dapat ditingkatkan secara signifikan,” tambahnya.
Dalam pada itu, Dr. Noor Maizura turut memaklumkan beberapa projek naik taraf dan pembangunan infrastruktur akan dilaksanakan bagi merealisasikan hasrat menjadikan Kampung Menerong sebagai kawasan ekopelancongan.
Usaha tersebut akan menggunakan peruntukan berjumlah RM1 juta di bawah program Kampung MADANI.