Thursday , 6 February 2025
Home Nasional Presiden Brazil undang PM Anwar hadiri sidang kemuncak G20 – Kementerian Luar
Nasional

Presiden Brazil undang PM Anwar hadiri sidang kemuncak G20 – Kementerian Luar

Presiden Brazil undang PM Anwar hadiri sidang kemuncak G20 – Kementerian Luar

Foto Hiasan/ REUTERS

PUTRAJAYA, 25 Ogos– Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva mengundang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Rio de Janeiro, menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Ahad.

Undangan itu disampaikan semasa kunjungan hormat Menteri Luar, Brazil Mauro Vieira ke atas Perdana Menteri di Seri Perdana, di mana mereka membincangkan hubungan dua hala yang lama terjalin antara Malaysia dan Brazil.

Sidang Kemuncak G20 dijadualkan berlangsung dari 18 hingga 19 Nov tahun ini.

Kementerian itu berkata semasa kunjungan hormat itu, Anwar turut mengulangi hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS dan Vieira mengalu-alukan permohonan Malaysia serta memberi jaminan akan sokongan Perdana Menteri Brazil.

Menurut kenyataan itu kedua-dua pihak turut menyentuh perkembangan semasa global termasuk situasi di Gaza, Myanmar dan konflik Rusia-Ukraine.

Lawatan rasmi dua hari Vieira ke Malaysia, dari 24 hingga 25 Ogos, merupakan lawatan pertamanya ke negara ini sebagai Menteri Luar sejak memegang jawatan pada 1 Jan 2023.

Selain itu, kementerian berkenaan turut berkata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya dari Brazil Vieira di Wisma Putra pada Ahad, dan mereka mengkaji semula dan membincangkan kerjasama dua hala sedia ada antara Malaysia dengan Brazil.

Mesyuarat itu meliputi pelbagai topik, termasuk perdagangan dan pelaburan, semikonduktor, pertanian, sains, teknologi dan inovasi, hubungan antara rakyat dan pembangunan kapasiti, serta pertukaran lawatan peringkat tinggi.

Kementerian itu juga berkata kedua-dua menteri luar juga meneroka usaha mengukuhkan kerjasama melalui platform serantau dan pelbagai hala, termasuk ASEAN, BRICS, G20 atau Kumpulan 20 serta di bawah Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC).

“Pandangan turut dikongsi mengenai situasi di Gaza dan konflik Rusia-Ukraine,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar berkata lawatan ini telah memberi dorongan baharu kepada hubungan Malaysia-Brazil yang terjalin sejak 65 tahun lepas pada 1959, ketika kedua-dua negara berusaha untuk mengukuhkan kerjasama mereka.

Brazil terus menjadi rakan perdagangan kedua terbesar Malaysia di rantau Amerika Latin. Pada 2023, jumlah dagangan antara Malaysia dan Brazil bernilai RM17.46 bilion (US$4 bilion), meningkat empat peratus daripada RM16.86 bilion (US$3.85 bilion) yang direkodkan pada 2022. – BERNAMA

Related Articles

Banjir di Johor pulih sepenuhnya
Nasional

Banjir di Johor pulih sepenuhnya

FOTO FAIL KOTA TINGGI, 6 Februari – Tiga buah pusat pemindahan sementara...

UM kembalikan senyuman suku kaum Semai di Raub
Nasional

UM kembalikan senyuman suku kaum Semai di Raub

Foto UMKUALA LUMPUR, 6 Februari – Seramai 500 penduduk Orang Asli di...

Isu sewa helikopter RM16.6 bilion akan dijawab 20 Februari
Nasional

Isu sewa helikopter RM16.6 bilion akan dijawab 20 Februari

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin KUALA LUMPUR, 6 Februari –...

Kepengerusian ASEAN, langkah tangani geopolitik antara fokus Dewan Rakyat hari ini
Nasional

Kepengerusian ASEAN, langkah tangani geopolitik antara fokus Dewan Rakyat hari ini

FOTO FAIL KUALA LUMPUR, 6 Februari – Objektif Kepengerusian ASEAN, langkah menangani...