Sunday , 10 November 2024
Home Nasional PMKS harus peroleh manfaat daripada DEFA – Tengku Zafrul
Nasional

PMKS harus peroleh manfaat daripada DEFA – Tengku Zafrul

PMKS harus peroleh manfaat daripada DEFA – Tengku Zafrul

Foto FB Tengku Zafrul

VIENTIANE, 9 Oktober- Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) ASEAN seharusnya mendapat manfaat daripada jangkaan nilai ekonomi berjumlah US$2 trilion dijana daripada Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) menjelang 2030.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata rundingan DEFA yang dilancarkan tahun lepas dijangka berakhir semasa Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025.

Menurutnya, ASEAN telah meletakkan asas untuk transformasi digital melalui Pelan Hala Tuju Bandar Seri Begawan (BSBR), bertujuan untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi dan integrasi digital menjelang 2025.

\”Satu pencapaian penting adalah penubuhan DEFA, berperanan mengharmonikan peraturan dan mewujudkan ekosistem perdagangan serantau yang lebih berdaya saing.

\”Perjanjian ini penting dalam mengubah ASEAN menjadi rantau berdaya tahan dan bersepadu secara digital,\” kata Tengku Zafrul semasa majlis khas Forum Bank Dunia di Sidang Kemuncak ASEAN 2024: Membolehkan Masa Depan Digital ASEAN (ASEAN Summit 2024: Enabling ASEAN’s Digital Future) yang diadakan di sini, malam ini.

Merapatkan jurang digital dalam kalangan negara anggota ASEAN

Beliau juga menekankan keperluan untuk ASEAN menangani jurang dasar dan peraturan dalam kalangan negara anggotanya untuk merapatkan jurang digital dalam kalangan negara anggota.

Merapatkan jurang itu adalah penting untuk masa depan digital serantau yang benar-benar inklusif dan dalam memanfaatkan ekonomi digital ASEAN, ia diunjurkan mencecah US$1 trilion menjelang 2030.

Bagaimanapun, beliau berkata bagi merealisasikan sepenuhnya potensi masa depan digital, ASEAN mesti menangani kedua-dua peluang dan cabaran terutamanya jurang digital dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Contohnya, kadar penembusan Internet di Singapura dan Malaysia melebihi 90 peratus manakala Myanmar dan Laos adalah sekitar 50 hingga 60 peratus, katanya.

\”Penggunaan teknologi digital mempunyai potensi untuk mempercepatkan pertumbuhan sebanyak 8 hingga 10 peratus setiap tahun di negara-negara anggota.

\”Untuk memanfaatkan sepenuhnya ini, kita memerlukan dasar digital padu dan diselaraskan dengan baik, menarik pelaburan yang betul dan memupuk inovasi, pada masa sama memastikan akses saksama kepada teknologi untuk semua,\” kata Tengku Zafrul yang tiba di Vientiane pada 6 Oktober lepas untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 yang berlangsung sehingga 11 Oktober depan.

Beliau berkata kekuatan ekonomi kolektif ASEAN dengan asas penduduk 680 juta dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak US$3.8 trilion pada 2023 adalah penting, menjadikan blok serantau itu kelima terbesar di dunia.

Menjelang 2030, ASEAN dijangka menjadi ekonomi keempat terbesar, didorong oleh populasi lebih 717 juta dengan sebahagian besar golongan belia yang celik digital, penggunaan digital di ASEAN berkembang pesat dengan lebih 400 juta pengguna internet semasa di rantau ini, jelasnya.

\”Ini menjadikan kita (negara anggota ASEAN) pasaran yang menarik untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI), memupuk keusahawanan dan pemindahan teknologi yang boleh mempercepatkan pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Meningkatkan perdagangan digital

Tengku Zafrul berkata Malaysia secara agresif berusaha meningkatkan perdagangan digital terutamanya untuk meningkatkan penyertaan PMKS dan menambah baik nilai dalam rantaian bekalan yang menyokong perdagangan digital seperti logistik.

Khususnya ekonomi digital, perdagangan digital, harus menjana limpahan positif yang mampan kepada pasaran tempatan, katanya lagi.

ASEAN merupakan pasaran Internet yang paling pesat berkembang dengan 125,000 pengguna baharu di Internet setiap hari, ekonomi digital ASEAN dijangka berkembang dengan ketara, sebanyak US$1 trilion dijangka disumbangkan kepada KDNK serantau dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Bagaimanapun, banyak cabaran akan timbul dalam usaha merealisasikan potensi ini.

\”ASEAN telah membentangkan langkah dan rangka kerja dasar yang penting termasuk Pelan Tindakan AEC 2025, Pelan Induk mengenai Kesalinghubungan ASEAN 2025 dan Perjanjian Rangka Kerja e-ASEAN, untuk menangani kekangan ini.

“ASEAN juga telah meletakkan asas bagi transformasi digital melalui Pelan Hala Tuju Bandar Seri Begawan (BSBR), bertujuan untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi dan integrasi digital menjelang 2025,” katanya.

Peranan PMKS

Dalam pada itu, beliau berkata memupuk persekitaran yang kondusif untuk syarikat baharu dan PMKS adalah penting untuk menjana potensi penuh ekonomi digital ASEAN memandangkan PMKS menyumbang 97 peratus daripada semua perniagaan dan menyumbang dengan ketara kepada pekerjaan.

“Dengan memperkasakan mereka dengan peralatan digital dan akses kepada modal, kami boleh mewujudkan platform untuk inovasi, penciptaan pekerjaan dan pertumbuhan serantau,” kata Tengku Zafrul.

Namun, peningkatan ancaman keselamatan siber dan isu privasi data semakin meningkat di rantau ini dengan kos ekonomi jenayah siber di ASEAN dianggarkan melebihi US$100 bilion setiap tahun.

Justeru, ia menekankan kepentingan langkah perlindungan data yang mantap dan permintaan untuk sistem digital lebih dipercayai.

Mewujudkan rangka kerja dasar/kawal selia keselamatan siber yang kukuh dan memupuk kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta akan memastikan orang ramai dan perniagaan boleh melibatkan diri dalam ekonomi digital dengan yakin dan selamat, katanya.

Malaysia kini membuat persediaan untuk menerajui tonggak ekonomi ASEAN pada 2025, sehubungan itu beliau berkata negara akan mengutamakan dua penyampaian utama, ASEAN DEFA dan inisiatif yang berkaitan dengan kecerdasan buatan (AI).

\”Inisiatif ini akan menekankan komitmen kami untuk membina ASEAN yang berdaya tahan digital, seiring dengan permintaan global dan kemajuan teknologi,\” kata Tengku Zafrul.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menghadiri sidang kemuncak itu bersama pemimpin dan rakan dialog ASEAN yang lain.

Laos secara rasmi akan menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia dalam majlis penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Berkaitan.

Malaysia secara rasmi akan memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1 Januari 2025. – BERNAMA

BERITA BERKAITAN:

  • Anwar & delegasi Malaysia selamat tiba di Laos
  • PM Anwar tiba di Laos hadiri Sidang Kemuncak ASEAN
  • Diaspora Malaysia di Laos perlu teroka tenaga boleh baharu

Related Articles

Banjir di Raub, 25 keluarga terjejas dipindahkan ke dua PPS
Nasional

Banjir di Raub, 25 keluarga terjejas dipindahkan ke dua PPS

FOTO APMRAUB, 10 November-Gelombang kedua banjir mula melanda Pahang apabila seramai 99...

Pengeboman di Quetta: Anwar zahir dukacita terhadap serangan
Nasional

Pengeboman di Quetta: Anwar zahir dukacita terhadap serangan

Foto REUTERSKUALA LUMPUR, 10 November-Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa...

Anwar tiba di Mesir untuk lawatan rasmi empat hari
Nasional

Anwar tiba di Mesir untuk lawatan rasmi empat hari

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim /Foto BERNAMAKAHERAH, 10 November-Perdana Menteri, Datuk...

Sarawak komited teruskan agenda pembangunan rumah mampu milik
Nasional

Sarawak komited teruskan agenda pembangunan rumah mampu milik

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg / Foto...