KUALA LUMPUR, 10 September– Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga penulis blog, Raja Petra Kamarudin yang meninggal dunia di United Kingdom, malam tadi.
Perkara itu dikongsikannya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
“Takziah kepada keluarga blogger Raja Petra Kamarudin atau RPK yang dilaporkan telah dijemput Ilahi malam tadi di Manchester, United Kingdom.
“Saya turut berduka dan mendoakan agar rohnya diberi keampunan oleh Allah SWT dan keluarganya diberi ketabahan serta tahap kecekalan yang tinggi, Insya-Allah,” kata Anwar.
Raja Petra dilahirkan pada 27 September 1950 di Surrey, England mengendalikan laman web Malaysia Today yang menyiarkan pandangannya mengenai politik Malaysia.
Allahyarham pernah menuntut di Kolej Melayu Kuala Kangsar dan Victoria Institution.
Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Perdana Menteri turut mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Ahli Parlimen Peringat (kini Ketereh) Muhamad Mustafa yang meninggal dunia semalam.
“Saudara Muhamad merupakan seorang sahabat yang baik. Mendoakan keluarganya dikurniakan kekuatan serta mendoakan agar roh beliau diampunkan segala dosa dan diberi tempat teristimewa di sisinya,” kata Perdana Menteri.
Allahyarham Muhamad, 66, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian pada 11.20 malam tadi akibat komplikasi jantung.
Allahyarham pernah menjadi Ahli Dewan Negara bagi penggal 2017 hingga 2020 dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit (2008 hingga 2013).