Home Nasional Petugas haji RTM berlepas petang ini, Salam Baitullah janjikan kelainan
Nasional

Petugas haji RTM berlepas petang ini, Salam Baitullah janjikan kelainan

Petugas haji RTM berlepas petang ini, Salam Baitullah janjikan kelainan

Timbalan Pengarah Berita Ehwal Semasa (BES), Md Shahri Saripan (tiga dari kiri) dan Timbalan Pengarah Seksyen Ehwal Semasa (SES), Rohayu Wahid turut hadir menyantuni empat petugas haji RTM yang akan berlepas hari ini di Lapangan Terbang Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA).

SEPANG, 24 April– Seramai 14 petugas media menyertai penerbangan pertama ke Arab Saudi dan empat orang darinya merupakan kakitangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang akan membuat liputan sepanjang musim haji kali ini.

Kesemua mereka menaiki penerbangan MH152 yang dijangka berlepas pada pukul 3.10 petang ini dan akan tiba di Madinah pukul 7.10 malam waktu Arab Saudi.

Pengarah Operasi Media Tanah Suci, Mohamad Naser Jaafar menjelaskan perlepasan hari ini melibatkan dua penerbangan dengan membawa kumpulan petugas seramai 74 orang.

\”Penerbangan pertama ini melibatkan 60 pekerja kebajikan dan perubatan serta 14 petugas media akan berlepas petang ini bagi memastikan segala persiapan dalam keadaan terbaik sebelum ketibaan jemaah haji Malaysia di Madinah dan Mekah.

\”Kesemua para petugas yang bertindak sebagai barisan hadapan ini telah mengikuti kursus yang cukup komprehensif bagi meningkatkan kecekapan, pengetahuan serta kemahiran bagi memastikan mereka bersedia sepenuhnya dan cukup terlatih dalam melaksanakan tanggungjawab untuk menyantuni 31,600 bakal haji negara,\” kata Mohamad Naser kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui semasa perlepasan petugas haji 1446H/2025 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.

Sementara itu, wartawan RTM, Muhammad Rastwin Stia menyifatkan pemilihannya sebagai petugas media bagi musim haji tahun ini umpama rezeki buat dirinya dan akan memberikan liputan terbaik.

Bagi pelapor program Salam Baitullah 2025, Rozaihan Rahim, menzahirkan rasa syukur kerana diberikan peluang bukan sahaja dapat bekerja tapi dalam masa yang sama menjadi tetamu Allah.

Dua petugas RTM lain yang turut menyertai iaitu Mohd Sani Mohd Pohari dan jurukamera, Mohd Nasarudin Ahmad Kamal.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Salam Baitullah edisi ke-17, Rohayu Wahid menjelaskan beberapa kelainan bakal ditampilkan dalam program tersebut.

Selain menampilkan figura istimewa, Zizi Kirana bersama gandingan pengacara, Fakhrul Razi dan Ustaz Jalal Zaki.

Pengisian Salam Baitullah kali ini akan mengupas perjalanan ibadah haji bermula daripada persediaan awal hingga pada Hari Wukuf dengan teknologi imej janaan komputer (CGI), kecerdasan buatan (AI), hologram dan lintas langsung perkembangan jemaah haji.

Beliau menjelaskan demikian selepas hadir menyantuni empat petugas RTM yang akan berlepas untuk memulakan tugasan liputan haji serta program penerbitan Salam Baitullah.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Bahagian Berita Ehwal Semasa, Md Shahri Saripan.

Operasi haji 2025 membabitkan 31,600 jemaah dengan 100 penerbangan yang melibatkan lapan buah stesen berlepas di seluruh Malaysia.

Antaranya di Kota Bharu, Kuala Terengganu, Alor Setar, Bayan Lepas, Senai, Kuching, Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Penerbangan pertama jemaah haji negara akan bermula pada 29 April manakala penerbangan terakhir adalah pada 1 Jun.

Related Articles

Fadillah Yusof kongsi detik cemas gegaran gempa bumi di Turkiye
Nasional

Fadillah Yusof kongsi detik cemas gegaran gempa bumi di Turkiye

Fadillah Yusof dan rombongan diarahkan keluar dari Terminal VIP Lapangan Terbang Istanbul...

Intervensi KPM: Calon tidak hadir SPM rekod penurunan
Nasional

Intervensi KPM: Calon tidak hadir SPM rekod penurunan

Sidang media pengumuman analisis keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2024 di Putrajaya...

SPNB kaji kewajaran naikkan harga RMR, kesan kos barang binaan
Nasional

SPNB kaji kewajaran naikkan harga RMR, kesan kos barang binaan

Foto FailBANDARAYA MELAKA, 24 April– Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) mengkaji kewajaran...

SPM 2024: 14,179 calon peroleh semua A
Nasional

SPM 2024: 14,179 calon peroleh semua A

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan ketika ditemui media di Putrajaya hari...