KUALA LUMPUR, 15 April – Sesi penghormatan terakhir jenazah Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi diawalkan bermula pukul 10.00 pagi hingga 1.00 tengah hari di Dewan Utama Solat, Masjid Negara.
Perkembangan terbaharu itu dimaklumkan oleh menantunya, Khairy Jamaluddin dalam sidang media sebentar tadi.
Beliau berkata, Allahyarham Tun Abdullah telah selesai dimandikan dan dikafankan pihak pengurusan Masjid Negara.
“Walaupun pada semalam kita telah umumkan orang ramai, saudara mara, sahabat handai, rakyat Malaysia dan yang ingin memberi penghormatan terakhir kepada Tun boleh datang pada pukul 11.00 pagi, oleh kerana pihak Masjid Negara dan keluarga sudah bersedia, kita buka kepada orang ramai bermula jam 10 pagi,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, jenazah Allahyarham Tun Abdullah tiba di Masjid Negara sekitar pukul 8.30 pagi.
Jenazah kemudian akan disembahyangkan selepas solat zohor di Masjid Negara, dan seterusnya dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara.