Saturday , 9 November 2024
Home Nasional Penganjur cadang perluas STEM Camp@Sintok ke peringkat kebangsaan
Nasional

Penganjur cadang perluas STEM Camp@Sintok ke peringkat kebangsaan

Penganjur cadang perluas STEM Camp@Sintok ke peringkat kebangsaan

Usaha memperkasa pendidikan STEM merupakan satu usaha berterusan bagi mempersiapkan generasi muda negara ini untuk menjadi generasi yang mampu memanfaatkan teknologi untuk membangunkan negara selain memenuhi keperluan modal insan pada masa hadapan/Foto UUM

SINTOK, 27 September – Penganjuran program STEM Camp@Sintok 2024 telah membantu 160 murid-murid sekolah mendalami bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) berimpak tinggi menerusi aktiviti-aktiviti yang dirangka khusus untuk program tersebut.

Pengarah Projek yang juga Pensyarah Multimedia Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM), Abd Hadi Abd Razak berkata, sambutan untuk STEM Camp@Sintok 2024 ini telah membuktikan bahawa ibu bapa semakin menyedari kepentingan STEM untuk murid-murid.

Ia juga selaras dengan hasrat kerajaan yang memberi penekanan kepada kepentingan pengajaran STEM untuk meningkatkan daya saing negara dalam bidang sains dan teknologi pada masa hadapan serta termaktub di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menekankan pendidikan STEM di peringkat sekolah melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum dengan sokongan pelbagai pihak berkepentingan.

Sehubungan itu, beliau bercadang memperluaskan penganjuran program STEM Camp@Sintok ke peringkat negeri dan kebangsaan bagi memenuhi permintaan terhadap pengajaran tambahan STEM kepada murid-murid sekolah rendah dan menengah.

“Kami menerima lebih 200 permohonan untuk program tahun ini namun, kami hanya dapat menampung seramai 160 peserta sahaja. Ini menunjukkan bahawa ibu bapa semakin menyedari kepentingan bidang STEM untuk anak-anak mereka. Bagi memberi peluang kepada lebih ramai murid sekolah mengikuti program ini, kami menerusi SMMTC bercadang memperluaskan STEM Camp@Sintok ke seluruh negara.

“Tahun hadapan, kami sedang merangka penganjuran program untuk zon utara merangkumi Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak. Kami merancang mengadakan program peringkat kebangsaan pada bulan Mac 2025,” jelas Abd Hadi.

STEM Camp@Sintok 2024 dianjurkan SMMTC dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Sultanah Asma, Sekolah Kebangsaan Kuala Lanjut dan Kelab My STEM Ambassador UUM yang disertai 160 murid-murid dari daerah Kota Setar, Kubang Pasu, Kuala Muda, Baling, Padang Terap dan Pendang.

Menerusi program tiga hari dua malam itu, pelbagai aktiviti diadakan untuk membentuk minat serta mengasah kemahiran STEM, menerapkan pemikiran kreatif dan memberi peluang merasai kehidupan kampus.

Antaranya, aktiviti mencipta dan meluncurkan roket, membina kapal terbang kertas, mereka bentuk payung terjun, pertandingan kad permainan matematik Ace of Math peringkat negeri Kedah dan pertandingan pengaturcaraan komputer Code Combat peringkat negeri Kedah.

Selain itu, peserta juga perlu mengikuti ceramah motivasi dan strategi untuk mencapai kecemerlangan sepanjang mengikuti pendidikan di sekolah.

Pembentukan personaliti peserta juga diberi penekanan dan mereka dibimbing untuk membentuk hubungan dengan rakan yang baharu dikenali, mengurus diri, meningkatkan semangat berpasukan dan memanfaatkan waktu cuti untuk aktiviti lebih bermanfaat.

Semua peserta ditempatkan di pusat penginapan mahasiswa Inasis MAS UUM sepanjang berlangsungnya program sekaligus memberi pengalaman dan merangsang murid-murid ini untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.

Menurut Guru Besar SK Kuala Lanjut, Wan Anisham Wan Ishak , pihaknya menerima pelbagai maklum balas positif daripada ibu bapa peserta dan menyifatkan aktiviti yang disediakan menepati keperluan peserta.

“Usaha memperkasa STEM dalam kalangan generasi muda perlu diperhebat bagi melahirkan generasi berkemahiran tinggi dan memahami teknologi serta mampu mencetuskan teknologi menerusi kemahiran mencipta dan berinovasi. Program STEM Camp@Sintok 2024 ini memperlihatkan hubungan kukuh pihak sekolah dan institusi pendidikan tinggi dalam usaha memperkasa pendidikan STEM,” jelas beliau.

Berdasarkan maklum balas positif itu, Wan Anisham mahu program berkaitan STEM ini terus menjadi aktiviti tahunan di kampus UUM Sintok kerana ia mampu memberi pendedahan awal kepada murid-murid mengenai pendidikan STEM.

Related Articles

Polis mohon saksi tampil bantu siasatan libat lori pengangkut kereta perisai terbalik
Nasional

Polis mohon saksi tampil bantu siasatan libat lori pengangkut kereta perisai terbalik

Lori jenis loader membawa muatan dua kereta perisai terbabas petang semalam/Foto orang...

Masyarakat perlu lebih waspada jenayah 'scammer'
Nasional

Masyarakat perlu lebih waspada jenayah 'scammer'

FOTO FAIL MATA AYER, 8 November– Pelbagai kes jenayah yang berlaku ketika...

Malaysia perlu terajui teknologi baharu, bersaing di peringkat global
Nasional

Malaysia perlu terajui teknologi baharu, bersaing di peringkat global

Datuk Seri Fadillah YusofKUALA LUMPUR, 8 November- Malaysia perlu tekad mendepani teknologi...

Letupan di Lubnan, enam anggota MALBATT cedera
Nasional

Letupan di Lubnan, enam anggota MALBATT cedera

Foto REUTERSKUALA LUMPUR, 8 November-Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan bahawa enam...