Saturday , 7 December 2024
Home Nasional Menteri Kanan Singapura, Lee tiba di Malaysia, hadir Istiadat Pertabalan Agong
Nasional

Menteri Kanan Singapura, Lee tiba di Malaysia, hadir Istiadat Pertabalan Agong

Menteri Kanan Singapura, Lee tiba di Malaysia, hadir Istiadat Pertabalan Agong

Foto: BERNAMA

SEPANG, 19 Julai– Menteri Kanan Singapura Lee Hsien Loong tiba di Malaysia hari ini untuk menghadiri Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim di Istana Negara, Kuala Lumpur esok.

Pesawat komersial yang membawa Lee bersama isterinya Ho Ching serta delegasi beliau mendarat di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini pada 4.15 petang.

Lee diiringi Menteri Negara Kanan bagi Pertahanan dan Tenaga Manusia, Zaqy Mohamad dan Menteri Negara Kanan bagi Kebudayaan, Masyarakat dan Belia yang juga Menteri Negara Kanan bagi Perdagangan dan Perusahaan, Low Yen Ling.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri Singapura dalam satu kenyataan memaklumkan Lee adalah antara kumpulan pemimpin asing terpilih yang diundang oleh Seri Paduka Baginda untuk menghadiri istiadat pertabalan itu.

Semasa lawatan berkenaan, bekas perdana menteri itu akan menghadiri istiadat pertabalan dan Majlis Santapan Diraja.

Lee juga dijadualkan bertemu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengadakan pertemuan dengan Raja-Raja Melayu, menteri dan pemimpin Malaysia, serta akan berucap pada majlis makan malam Kelab Perniagaan Kuala Lumpur.

Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan lepas.

Acara-acara bersempena dengan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 bermula semalam dengan Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat di Masjid Negara, diikuti Khutbah Jumaat Khas hari ini.

Selain itu, pada 20 Julai akan berlangsung Majlis Santapan Diraja di Istana Negara, manakala Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Hospital Orang Asli Gombak pada 23 Julai.

Pameran Raja Kita akan diadakan di Muzium Negara pada 25 Julai sebelum acara-acara bersempena dengan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong diakhiri dengan Majlis Jamuan Teh Diraja pada 27 Julai di Istana Negara. -BERNAMA

Related Articles

Hari Inovasi Negeri Melaka dapat sambutan meriah, rancang skala lebih besar tahun depan 
Nasional

Hari Inovasi Negeri Melaka dapat sambutan meriah, rancang skala lebih besar tahun depan 

Exco Sains, Teknologi, Inovasi  dan Komunikasi Digital Melaka, Datuk Fairul Nizam RoslanAYER...

KPKT lulus 7,243 MyKiosk di seluruh negara
Nasional

KPKT lulus 7,243 MyKiosk di seluruh negara

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming/ BERNAMASUBANG JAYA, 6 Disember–...

Pertandingan dan Pesta Batik Lestari, martabat karya batik tempatan di mata dunia
Nasional

Pertandingan dan Pesta Batik Lestari, martabat karya batik tempatan di mata dunia

FOTO BERNAMAKUALA LUMPUR, 5 Disember – Penganjuran Pertandingan Reka Bentuk Batik Lestari...

Daerah Jeli kembali dilanda banjir
Nasional

Daerah Jeli kembali dilanda banjir

Foto RTMTUMPAT, 5 Disember – Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah...