Thursday , 21 November 2024
Home Nasional Malaysia sokong SOTF, Pakatan untuk Masa Depan
Nasional

Malaysia sokong SOTF, Pakatan untuk Masa Depan

Malaysia sokong SOTF, Pakatan untuk Masa Depan

Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan

NEW YORK, 23 September – Malaysia menyatakan sokongan terhadap Sidang Kemuncak Masa Depan (SOTF) dan Pakatan untuk Masa Depan yang dianjurkan sempena Perhimpunan Agung Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-79.

Menurut Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan, sidang itu merupakan peluang bagi membentuk semula tadbir urus global yang berkesan untuk masa kini dan masa depan.

Jelasnya konflik dan cabaran terus menimpa dunia saban tahun.

Daripada ketidakupayaan menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza sehingga kepada kesan perubahan iklim dan jurang pembangunan yang semakin melebar antara Selatan dan Utara Global sudah tiba masanya untuk merangsang tadbir urus global secara holistik, berasaskan kemanusiaan.

Usaha dunia juga akan sia-sia jika tiga cabaran utama yang berterusan tidak ditangani iaitu keselamatan makanan, akses kepada pendidikan dan perubahan iklim.

\”Menjelang tahun 2050 planet kita akan menjadi tempat tinggal kepada 10 bilion orang. Bagaimana dunia akan mampu menyediakan makanan kepada seluruh penduduknya ketika itu, sekiranya kita tidak dapat melakukannya sekarang? Pendidikan adalah kunci dalam menangani ketidaksamaan.

\”Pemerkasaan melalui pengetahuan akan membebaskan golongan yang kurang bernasib baik mengeluarkan mereka daripada kemiskinan. Namun, di Selatan Global, berjuta-juta kanak-kanak dinafikan hak asas, hak untuk pendidikan. Kita mesti memecahkan halangan dan memastikan akses, kualiti dan kemampuan. Komuniti global mesti mendemokrasikan pendidikan,\” kata Mohamad Hasan.

Beliau berucap dalam Sidang Kemuncak Masa Depan (SOTF) di Ibu Pejabat PBB, di sini.

SOTF yang pertama kali dianjurkan sempena Perhimpunan Agung PBB meminta pemimpin untuk menyuarakan pendapat dan pandangan dalam isu yang berkepentingan.

Sementara itu Mohamad Hasan berkata, Malaysia percaya bahawa dunia harus berusaha ke arah Pakatan Pembangunan Hijau bagi menangani jurang saintifik dan teknologi antara negara global Utara dan Selatan.

Jelasnya, pembiayaan iklim dan projek bantuan pembangunan adalah penting untuk menutup jurang tersebut.

Negara Global Utara tidak sepatutnya meninggalkan negara global selatan.

\”Krisis iklim bukan ancaman yang asing, ia telah berlaku dan ia sesuatu yang nyata serta memberi kesan kepada kita dengan berlakunya banjir dan kebakaran hutan. Antara lain ia juga mengakibatkan kebuluran dan kita tidak mempunyai pilihan selain daripada bertindak sekarang. Penyelesaiannya juga bergantung kepada pembiayaan iklim yang mencukupi serta pemindahan teknologi dan inovasi,\” katanya.

Mohamad Hasan turut mencadangkan penubuhan dana sains global untuk menggalakkan penyelesaian yang pelbagai dan inovatif terhadap cabaran global.

Dana itu akan membantu negara-negara terutama di selatan membangunkan teknologi untuk menangani perubahan iklim keselamatan makanan dan pendidikan.

Related Articles

Lawatan sulung PM ke Brazil jana potensi eksport RM6.8 bilion
Nasional

Lawatan sulung PM ke Brazil jana potensi eksport RM6.8 bilion

Anwar Ibrahim bersama Presiden Brazil, Lula da Silva pada Sidang Kemuncak G20...

Malaysia cadang reformasi Majlis Keselamatan PBB
Nasional

Malaysia cadang reformasi Majlis Keselamatan PBB

FOTO FACEBOOK Anwar IbrahimRIO DE JANEIRO, 19 November- Malaysia mengusulkan reformasi menyeluruh...

Nasional

Malaysia seru tindakan global untuk tangani kelaparan & kemiskinan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMARIO DE JANEIRO,18 November– Malaysia menyeru...

Pelajar Tingkatan Dua maut terjatuh bangunan sekolah
Nasional

Pelajar Tingkatan Dua maut terjatuh bangunan sekolah

PDRMGEORGE TOWN, 19 November- Seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua maut selepas dipercayai...