VIENTIANE, 10 Oktober– Malaysia dan Singapura mencapai kesepakatan dan kemajuan berkaitan beberapa isu tertunggak antara kedua-dua negara.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, isu-isu itu dibincangkan dalam pertemuan dua hala dengan rakan sejawatan dari Singapura Lawrence Wong di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, semalam.
Tanpa menyatakan isu tertunggak berkenaan, Perdana Menteri berkata ia akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam sesi permukiman tahunan Malaysia-Singapura hujung tahun ini.
“Selama hampir 40 minit, saya dan PM Lawrence berbincang beberapa perkara terkait kepentingan kedua-dua negara, terutama meneroka kaedah terbaik bagi menyelesaikan isu berbangkit secara berkesan dan sepantas mungkin,” katanya dalam satu kenyataan.
Selepas pertemuan empat mata itu, beliau dan Wong kemudiannya mengetuai mesyuarat dua hala bersama menteri-menteri dan delegasi kedua-dua negara.
Sebelum ini dilaporkan isu-isu tertunggak antara kedua-dua negara termasuk kawalan ruang udara, isu air dan sempadan maritim.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dibuka secara rasmi semalam hingga 11 Oktober.
Laos sebagai Pengerusi ASEAN 2024 akan menyerahkan jawatan pengerusi itu kepada Malaysia yang akan menjadi Pengerusi ASEAN bagi 2025.
Malaysia secara rasmi akan memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1 Januari.