SHAH ALAM, 30 April – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengambil inisiatif memperkenalkan kad pengenalan khas kepada semua Perancang Pewarisan Islam (PPI) yang diiktiraf, sebagai langkah membanteras kegiatan penipuan dan penyamaran individu yang mendakwa mewakili agensi itu.
Pengerusi MAIS Datuk Salehuddin Saidin berkata, inisiatif tersebut adalah mekanisme pencegahan awal bagi melindungi umat Islam daripada menjadi mangsa penipuan dalam pengurusan harta seperti wasiat dan hibah.
\”Itu sebabnya kita memperkenalkan kad PPI ini, sebenarnya supaya tidak ada siapa-siapa di luar sana yang mengambil kesempatan, kononnya mereka ni ejen kepada MAIS untuk mereka memberikan perkhidmatan. Jadi apabila kita kenalkan kad yang sebegini, dalam kad itu sendiri ada identiti pembawa iaitu gambar dia, kad kenalan dia.
\”Jadi di sini masyarakat yang melihat kepada ejen yang ada kad ini akan lebih yakin bahawa mereka ni sebenarnya berurusan dengan seseorang yang ditauliah pihak MAIS,\” kata Salehuddin kepada pemberitaselepas Majlis Penghargaan Rakan Media Dan Rakan Strategik Serta Pelancaran Kad Perancang Pewarisan Islam di Shah Alam, di sini.
Jelas beliau, PPI diwujudkan bagi memudahkan umat Islam di Selangor menguruskan harta pusaka mengikut hukum syarak dengan bayaran berpatutan berbanding caj tinggi dikenalkan ejen swasta.
Hingga kini, MAIS telah melantik 63 PPI bertauliah dan pihaknya merancang meningkatkan jumlah tersebut bagi meluaskan capaian perkhidmatan PPI di seluruh negeri.
Sejak 2022 hingga Mac lalu, permintaan perkhidmatan Pewarisan Islam semakin meningkat dengan jumlah 553 dokumen wasiat dan 1,000 satu dokumen hibah dikendalikan MAIS.