IPOH, 29 Julai- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu sesi libat urus antara umat Islam dan yang lain perlu diadakan.
Perkara itu bagi memperkukuh toleransi dan kefahaman antara satu sama lain dan mengelakkan salah faham yang membawa kepada Islamofobia
Ia juga perlu bagi mencapai keamanan dan kemakmuran agar terus dinikmati terutama rakyat di negara ini.
\”Masalah yang kita hadapi di dunia ini adalah kekurangan pengetahuan sepenuhnya. Kita menganggap kita tahu, tetapi sebenarnya kita tidak tahu. Kita terlibat dalam usaha-usaha ini dengan prejudis dan bukan dengan empati.
\”Kita perlu mempunyai keberanian untuk meneruskan usaha ini dengan semangat memahami dan menghargai, dan menyedari bahawa ini adalah keperluan untuk mencapai bukan sahaja keamanan dan kemakmuran, tetapi juga kelestarian,\” katanya ketika berucap dalam Program Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) ke-7, Berdiri Bersama : Umat Islam dan Kemanusiaan Sejagat, di sini.
Perasmian persidangan itu disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.
Persidangan itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.
Pada masa sama Anwar menggesa umat Islam memahami konsep ladzatul ma\’rifah yang membawa maksud perkongsian ilmu, pembelajaran dan keilmuan.
\”Anda mahu mendapatkan yang terbaik untuk memahami dan menghayati, sebagaimana kita telah memahami perintah al-Quran, menggunakan istilah yang sangat relevan dan terminologi berkaitan, bukan sahaja toleransi, tetapi lita\’arafu. Iaitu belajar dari satu sama lain, memahami satu sama lain, menerima perbezaan.
\”Pandangan saya ialah kita mesti mempunyai keberanian dan keyakinan untuk meneruskan wacana, semangat ladzatul ma’rifah, untuk memahami, menghayati dan menyedari bahawa ini keperluan untuk mencapai bukan sahaja keamanan dan kemakmuran malah kelestarian melalui wacana pemikiran,\” katanya.
WCIT merupakan program anjuran Negeri Perak dan dianjurkan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) sejak 2012.
Program berkenaan disertai peserta dari lebih 21 negara.
Persidangan selama tiga hari yang bermula pada hari ini, bertujuan menyediakan platform dan saluran untuk pemimpin serantau dan antarabangsa, cendekiawan, intelektual, profesional serta orang ramai menyuarakan pandangan mereka dalam pertukaran idea bagi menangani masalah kontemporari sebenar yang mempengaruhi dunia masa kini.