TEHRAN, 27 April-Satu letupan besar menggegarkan pelabuhan komersial terbesar Iran pada Sabtu, mencetuskan kebakaran besar mengorbankan 14 orang dan mencederakan 750 yang lain setakat ini.
Letupan itu berlaku di Pelabuhan Shahid Rajaee di selatan Iran, berhampiran Selat Hormuz, laluan utama kepada keluaran minyak dunia dihantar.
Semua sekolah dan pejabat sejauh 23 kilometer (14 batu) di Bandar Abbas, ibu negeri wilayah Hormozgan, telah diarahkan tutup pada Ahad, menurut laporan televisyen kerajaan, bagi membolehkan pihak berkuasa memberi tumpuan kepada usaha kecemasan.
Menteri Dalam Negeri, Eskandar Momeni, berkata di Telegram pada awal pagi Ahad bahawa terdapat \”14 kematian dan 750 kecederaan setakat ini akibat letupan tersebut\”.
Walaupun punca letupan belum disahkan, pejabat kastam pelabuhan itu dalam satu kenyataan yang disiarkan televisyen kerajaan menyatakan ia berkemungkinan berpunca daripada kebakaran di depot penyimpanan bahan berbahaya dan bahan kimia.
\”Keamatan api di Pelabuhan Shahid Rajaee telah meningkat dan berkemungkinan boleh merebak ke kawasan dan kontena lain,\” lapor televisyen kerajaan lewat Sabtu.
Angin kencang turut menyukarkan usaha memadamkan kebakaran, kata seorang wartawan stesen penyiaran itu.
Shahid Rajaee, yang terletak lebih 1,000 kilometer di selatan Tehran, merupakan pelabuhan kontena paling moden di Iran, menurut agensi berita rasmi IRNA.
Gambar-gambar daripada IRNA menunjukkan pasukan penyelamat dan mangsa yang terselamat berjalan di sepanjang jalan yang dipenuhi serpihan selepas letupan.
Api membakar sebuah treler lori dan darah kelihatan mengotori bahagian sisi sebuah kereta yang remuk, sementara sebuah helikopter dilihat menjatuhkan air ke atas kepulan asap hitam yang tebal di belakang kontena-kontena tersusun.
Memetik perkhidmatan kecemasan tempatan, televisyen kerajaan melaporkan \”ratusan telah dipindahkan ke pusat perubatan berhampiran\”, manakala pusat pemindahan darah wilayah turut mengeluarkan seruan untuk derma darah.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, menyampaikan ucapan takziah kepada mangsa tragedi dan berkata beliau telah \”mengeluarkan arahan untuk menyiasat keadaan serta punca kejadian\”.
Sementara itu, Ketua pengurusan krisis wilayah, Mehrdad Hassanzadeh, memberitahu televisyen kerajaan bahawa \”punca kejadian adalah letupan beberapa kontena yang disimpan di kawasan dermaga Pelabuhan Shahid Rajaee.\”
Letupan tersebut begitu kuat sehingga dirasai dan didengari sejauh kira-kira 50 kilometer, menurut laporan agensi berita Fars.
\”Gegaran letupan begitu kuat hingga menyebabkan kebanyakan bangunan pelabuhan mengalami kerosakan teruk,\” lapor agensi berita Tasnim.
Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyatakan \”solidariti dengan Iran\” berhubung letupan tersebut, sementara Arab Saudi turut mengutuskan ucapan takziah.
Syarikat Negara Pengedaran Produk Minyak Iran dalam satu kenyataan yang disiarkan media tempatan menegaskan bahawa letupan \”tidak berkaitan dengan kilang penapisan, tangki bahan api, kompleks pengedaran atau saluran paip minyak.\”
Mereka turut berkata bahawa \”kemudahan minyak di Bandar Abbas kini beroperasi seperti biasa tanpa gangguan.\”
Letupan itu berlaku beberapa bulan selepas salah letupan lombong arang batu pada bulan September lepas yang berpunca daripada kebocoran gas yang meragut lebih 50 nyawa di Tabas.-AFP.