KUALA LUMPUR, 5 Mei – Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, menangguhkan lawatan rasminya ke Malaysia yang dijadualkan Jumaat ini susulan ketegangan yang tercetus selepas serangan berdarah di Kashmir.
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar menerusi hantaran di Facebook selepas menerima panggilan telefon daripadaShehbaz semalam.
“Saya memahami situasi rumit yang sedang dihadapi Pakistan dan mendoakan agar keadaan segera reda serta tidak terus meruncing.
\”Saya mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan dan menyokong penuh cadangan siasatan bebas dan telus untuk mengenal pasti dalang sebenar serangan itu,” katanya.
Beliau turut menyatakan kesediaan Malaysia untuk memainkan peranan sebagai pengantara bagi meredakan ketegangan jika diperlukan.
Tambahnya, hubungan baik Malaysia dengan Pakistan dan India merupakan aset penting demi keamanan dan kestabilan serantau.
Shehbaz turut menghargai hubungan erat kedua-dua negara serta menyuarakan keinginan untuk mempercepatkan pemeteraian memorandum persefahaman yang kini dalam perundingan, dengan Malaysia menegaskan komitmen untuk menyegerakan urusan itu.
“Insya-Allah, apabila keadaan mengizinkan, kita akan menyambut Shehbaz di Malaysia dalam suasana aman dan tenteram,” menurut Datuk Seri Anwar.
Serangan bersenjata di kawasan pelancongan Pahalgam, Kashmir pada 22 April lalu telah mengorbankan 26 nyawa dan meningkatkan ketegangan antara India dan Pakistan.