KUALA LUMPUR, 23 April– Majlis KENDANA Malaysia (KENDANA) dan Well Aging Japan Association (WAJA) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam mempertingkatkan mutu penjagaan warga emas, khususnya dalam aspek penjagaan dementia.
Ketua Pegawai Eksekutif KENDANA, Rashidi Yahaya berkata MoU tersebut menandakan satu langkah berani dalam memperkasa keluarga dan masyarakat bagi membentuk ekosistem penjagaan yang lebih berperikemanusiaan.
Jelasnya, usaha berkenaan bertujuan untuk memupuk pemindahan pengetahuan dan kepakaran antara Malaysia dan Jepun, selain membangunkan strategi inovatif dalam penjagaan warga emas, sekali gus meningkatkan kualiti hidup penjaga dan golongan yang bergantung kepada mereka.
“Kerjasama ini bukan sahaja menjalin perkongsian kepakaran antara dua negara, tetapi juga akan melonjakkan standard penjagaan dementia di peringkat serantau, memastikan tiada penjaga atau warga emas yang terpinggir,” katanya.
Kerjasama itu turut disokong oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) yang bertindak sebagai penghubung utama dalam menjayakan usaha rentas negara.
Sementara itu, Presiden WAJA, Toshihisa Ogawa menegaskan bahawa MoU itu akan membuka ruang kerjasama strategik yang lebih kukuh antara kedua-dua negara.
\”Ia membolehkan pertukaran ilmu secara menyeluruh, pelaksanaan strategi penjagaan terkini dan memberi impak positif kepada kehidupan penjaga serta warga emas di negara masing-masing,\” ujarnya.
Majlis pertukaran dokumen MoU itu berlangsung dalam satu majlis di Pavilion Malaysia sempena Ekspo Osaka 2025.
KENDANA dikenali sebagai peneraju dalam advokasi serta pemerkasaan penjaga di Malaysia, manakala WAJA pula merupakan antara organisasi perintis dalam inisiatif penjagaan warga emas di Jepun.