LIMBANG, 5 Mei – Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa mengatasi masalah kekurangan pasport biru yang kini menjejaskan kelancaran pergerakan rakyat di Sarawak.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, isu yang berlarutan sejak lebih tiga minggu lalu telah menyukarkan penduduk khususnya di Limbang dan Lawas yang mana memerlukan dokumen perjalanan itu untuk keluar masuk negeri.
“Setakat ini, saya difahamkan oleh Imigresen Limbang bahawa mereka telah kehabisan stok, bukan hanya di Limbang, tetapi di seluruh Sarawak.
\”Ini penting kerana pasport biru diperlukan untuk melintasi Brunei. Keadaan geografi di Limbang, Lawas, Miri dan selatan Sabah memang memerlukan laluan khas dengan pasport ini,” katanya selepas Majlis Penutupan Latihan Kecemasan Bangunan Operasi Haji Tanah Air (OHTA) 2025 di Lapangan Terbang Limbang pada Ahad.
Menurut beliau, Jabatan Imigresen Limbang kini hanya mempunyai 34 naskah pasport biru yang diutamakan untuk kes kecemasan.
Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang meminta vendor berkaitan untuk mempercepatkan proses mencetak naskah pasport biru demi memenuhi keperluan rakyat Sarawak, khususnya di utara negeri itu.
Kerajaan sebelum ini telah menurunkan harga pasport biru daripada RM150 kepada RM50 manakala harga bagi pasport merah dikenakan bayaran sebanyak RM200.
“Memang ada pasport merah tapi agak mahal dan tidak semua rakyat kita mampu terutama bagi urusan menghantar anak ke sekolah, orang sakit, orang meninggal, suka duka dan sebagainya,” katanya.