AYER KEROH, 8 Disember– Sebanyak RM2.7 juta jualan berjaya direkodkan pada Karnival Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) 2024 Zon Selatan yang berlangsung di Dataran Sejarah Ayer Keroh.
Karnival berkenaan turut mendapat pengiktirafan Malaysian Book of Records (MBOR) kerana menganjurkan Jualan Rahmah MADANI selama 40 jam tanpa henti.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, karnival berkenaan turut mencatat lebih 100,000 pengunjung dalam tempoh tiga hari, sejak ia berlangsung pada Jumaat.
\”Menunjukkan bahawa keprihatinan kerajaan dalam Jualan Rahmah ini mendapat sambutan rakyat dan dapat kita membantu mengurangkan kos sara hidup mereka yang memerlukan perhatian daripada kerajaan.
\”Jadi, kerajaan menganjurkan program Jualan Rahmah ini dan rakyat dapat membeli barang-barang keperluan asas yang boleh mengurangkan kos sara hidup.
\”Saya lihat bahawa sambutan yang luar biasa ini menunjukkan kepercayaan terhadap Jualan Rahmah ini telah pun meningkat di kalangan rakyat. Saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri kerana penganjuran ini telah dapat membantu kerajaan negeri meringankan beban rakyat negeri Melaka\”, katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup Jelajah Karnival KPDN Zon Selatan di Dataran Sejarah Ayer Keroh, Melaka.
Jelajah ini turut melibatkan lebih 100 peniaga, pempamer dan agensi kerajaan.