KOTA TINGGI, 28 Mac – Hasrat tiga sekeluarga pulang ke kampung untuk bersahur bersama keluarga tidak kesampaian apabila mereka maut selepas kereta dinaiki dirempuh sebuah treler dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 58.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, di Sedenak, tengah malam tadi.
Mangsa yang terkorban ialah Jurutera Draf Kapal, Nasaarudin Pardi, 36; isterinya, Siti Khazira Bani, 35; serta anak bongsu mereka, Maryam Nusaibah, berusia 2 tahun.
Adik kepada Siti Khazira, Taufiq Bani berkata, kakaknya memaklumkan melalui aplikasi WhatsApp keluarga bahawa mereka sekeluarga baharu memulakan perjalanan dari Bukit Jalil, Kuala Lumpur, sebelum kemalangan berlaku.
“Dia (Siti Khazira) ada maklumkan dalam kumpulan WhatsApp keluarga yang mereka baru bergerak. Kami sempat berbalas mesej, minta hati-hati di jalan.
\”Dalam pukul 11.25 malam, saya mesej semula tanya keadaan sebab dia senyap je. Saya tunggu sampai pukul 2.30 pagi, sebab nak bersahur sekali. Tapi dia tak sampai-sampai,” katanya ketika ditemui RTM.
Menurutnya, tiga anak pasangan itu yang masih hidup – Tuah Isqandar, 9; Teja Sumayyah, 7; dan Jebat Ismael, 4 tahun kini dijaga keluarga terdekat dan masih bertanya mengenai keadaan ibu bapa serta adik mereka.
“Setakat ini, Teja dan Tuah faham… tapi kadang-kadang mereka tanya juga, abah okey ke, ibu okey ke, Maryam macam mana,” katanya sebak.
Difahamkan, jenazah Nasaarudin dan anaknya Maryam dibedah siasat di Hospital Che’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.
Manakala jenazah Siti Khazira diuruskan di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai.
Dalam kemalangan sama dua lagi maut dalam sebuah kenderaan lain melibatkan Iklil Nuraudah Muhammad Redzaa (23) dan seorang penumpang kenderaan itu masih belum dikenal pasti; manakala dalam sebuah kenderaan lagi pemandu dan dua penumpang bahagian belakang termasuk seorang kanak-kanak berusia 2 tahun mengalami kecederaan.
Nahas membabitkan empat kenderaan termasuk treler pada pukul 11.30 malam itu menyebabkan lima maut termasuk suami isteri dan anak perempuan mereka berusia dua tahun.
Nahas dipercayai berlaku apabila tayar depan treler pecah hingga menyebabkan ia gagal dikawal sebelum memasuki laluan bertentangan, dipercayai menjadi punca kemalangan yang meragut lima maut.