Thursday , 6 February 2025
Home Nasional Himpunan Pembebasan Palestin: Rakyat malaysia sekali lagi berhimpun di Axiata Arena esok
Nasional

Himpunan Pembebasan Palestin: Rakyat malaysia sekali lagi berhimpun di Axiata Arena esok

Himpunan Pembebasan Palestin: Rakyat malaysia sekali lagi berhimpun di Axiata Arena esok

Himpunan Pembebasan Palestin

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Rakyat Malaysia sekali lagi berhimpun di Arena Axiata, Bukit Jalil seawal 6 petang esok bagi menunjukkan solidariti serta sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin.

Himpunan Pembebasan Palestin itu juga antara lain adalah untuk menghantar mesej yang kuat kepada dunia bahawa Malaysia mengutuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh dan kekejaman berterusan rejim Zionis.

Pada himpunan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyampaikan ucapan untuk menyatakan sokongan terhadap perjuangan Palestin bersama beberapa pemimpin lain yang akan hadir.

Anwar sebelum ini tidak pernah lekang untuk menegaskan pendirian Malaysia yang konsisten dalam membantu rakyat negara berkenaan, termasuk di pentas dunia.

Semalam, Perdana Menteri menyertai kira-kira 3,000 jemaah menunaikan solat jenazah ghaib buat Haniyeh di Masjid Negara sejurus selepas Solat Jumaat yang dipimpin Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni.

Haniyeh dilaporkan terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kediamannya di utara Tehran pada kira-kira 2 pagi waktu Iran, 31 Julai lepas.

Beliau berada di ibu negara Iran itu untuk menghadiri majlis pelantikan Presiden Iran yang baharu, Masoud Pezeshkian.

Anwar pada Mei lepas pernah bertemu Haniyeh dan berpeluang menyampaikan ucapan takziah kepadanya yang kehilangan ahli keluarga dalam pengeboman kejam rejim Zionis.

Semalam, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu yang dipertanggungjawabkan mengetuai himpunan itu menyeru orang ramai untuk menyatakan sokongan bersama rakyat Palestin demi melindungi orang-orang tertindas serta terbunuhnya Haniyeh.

Selain itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan turut menyeru semua pihak termasuk ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara tanpa mengira fahaman politik untuk turut hadir ke perhimpunan itu.

Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali turut menzahirkan rasa terima kasih kepada Anwar dan rakyat Malaysia atas sokongan kepada perjuangan Palestin dan menyifatkan perhimpunan pada Ahad ini sebagai lanjutan usaha berterusan Malaysia untuk menyokong negara berkenaan.

Pada 24 Okt tahun lepas, Himpunan Malaysia Bersama Palestin diadakan di Axiata Arena yang menghimpunkan pemimpin politik Kerajaan Perpaduan dan pembangkang bagi menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin.

Lebih 15,000 rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai latar belakang, agama dan bangsa telah menghadiri himpunan itu bagi menyampaikan mesej kepada dunia dan menunjukkan solidariti terhadap Palestin.

Himpunan Solidariti Bersama Gaza juga pernah diadakan di Masjid Negara pada 13 Okt 2023 yang menghimpunkan pemimpin politik Kerajaan Perpaduan dan pembangkang bagi menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin. – BERNAMA

Related Articles

Banjir di Johor pulih sepenuhnya
Nasional

Banjir di Johor pulih sepenuhnya

FOTO FAIL KOTA TINGGI, 6 Februari – Tiga buah pusat pemindahan sementara...

UM kembalikan senyuman suku kaum Semai di Raub
Nasional

UM kembalikan senyuman suku kaum Semai di Raub

Foto UMKUALA LUMPUR, 6 Februari – Seramai 500 penduduk Orang Asli di...

Isu sewa helikopter RM16.6 bilion akan dijawab 20 Februari
Nasional

Isu sewa helikopter RM16.6 bilion akan dijawab 20 Februari

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin KUALA LUMPUR, 6 Februari –...

Kepengerusian ASEAN, langkah tangani geopolitik antara fokus Dewan Rakyat hari ini
Nasional

Kepengerusian ASEAN, langkah tangani geopolitik antara fokus Dewan Rakyat hari ini

FOTO FAIL KUALA LUMPUR, 6 Februari – Objektif Kepengerusian ASEAN, langkah menangani...