PUTRAJAYA, 21 Februari – Sebanyak 496 tan metrik kelapa tua dikupas dibawa masuk pada bulan ini menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi memenuhi keperluan pasaran pada Ramadan dan Aidilfitri akan datang.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Isham Ishak berkata, 164,000 biji daripadanya dibawa masuk dari Sabah dan Kepulauan Palembang untuk menampung bekalan di pasaran.
Kelapa tua dikupas itu akan dipasarkan ke outlet peruncitan FAMA melalui 42 Pusat Operasi FAMA di seluruh negara.
\”FAMA sekarang ini lebih agresif mengaktifkan pusat-pusat pengumpulan FAMA di seluruh negara untuk mengutip kelapa-kelapa tua supaya bekalan kelapa itu ada.Tetapi tidak dinafikan memang akan ada peningkatan sikit sebab memang tahun ni kita menghadapi isu cuaca \”climate change\” yang mana pengeluaran kelapa seluruh dunia, mengikut \”International Coconut Community\” melihat bahawa tahun ini bekalan kelapa memang berkurangan akibat daripada\”climate change\” ini,\” kata Isham.
Beliau menyatakannya pada sidang media selepas melancarkan Program Semarak Ramadan 1446H Pasar Tani Peringkat Kebangsaan di Pasar Tani Putrajaya, di sini.
Pada malis itu Isham turut mengacau bubur lambuk sebagai gimik pelancaran sebelum mengedarkan bubur lambuk dan kurma kepada pengunjung.
Sebagai tarikan, para pengunjung juga berpeluang mendapatkan pelbagai barangan dengan harga istimewa menerusi jualan \’Happy Hour\’ Kombo Agro Madani serendah RM9.
Program Semarak Ramadan 1446H Pasar Tani melibatkan penyertaan 262 lokasi di seluruh negara, merangkumi 222 Pasar Tani, 37 pasar tani kekal, dua di Lusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Medan Niaga Satok (MNS).
Program itu bertujuan menyediakan, memperkukuh ekosistem pemasaran hasil tani dan memperluas akses pengguna untuk mendapatkan produk pertanian segar dengan harga berpatutan, di pasar-pasar tani seluruh negara bagi menghadapi bulan Ramadan.
\”Jadi dengan adanya program ini kita harap dapat melalui FAMA, kita menyalurkanlah produk-produk pertanian kita kepada orang ramai melalui pasar-pasar tani kita. Program Semarak Ramadan ini supaya harga yang kita berikan ini harga yang berpatutanlah dan dapat diakses semua rakyat Malaysia.
\”Jadi diharapkan program ini dapat memberikan kesedaran kepada rakyat bahawa FAMA melalui program ini dapat kita salurkan produk-produk pertanian kita dan diharapkan lebih ramailah orang ramai datang dan mendapatkan produk-produk mereka melalui pasar-pasar tani ni,\” katanya.