KUALA LUMPUR, 13 Februari – Seramai 80 pelajar asnaf sekitar Lembah Klang menerima sumbangan kelengkapan persekolahan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) “SAJI Seikhlas Hati, Back to School” anjuran FGV Holdings Berhad (FGV).
Mereka menerima pakaian seragam, beg sekolah, alat tulis, dan bantuan tunai.
Program ini turut merangkumi tajaan berjumlah RM2.25 juta bagi membekalkan kelengkapan persekolahan kepada 15,000 pelajar Tahun 1 anak-anak peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Fakhrunniam Othman berkata, sumbangan ini bagi membantu meringankan beban keluarga berpendapatan rendah menghadapi sesi persekolahan baharu.
“Program ini mencerminkan komitmen FGV dalam membantu golongan yang memerlukan, khususnya dalam aspek pendidikan. Kami percaya bahawa pendidikan adalah asas utama dalam membentuk generasi cemerlang.
\”Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat meringankan beban mereka yang memerlukan serta memberi inspirasi kepada anak-anak untuk lebih bersemangat dalam menimba ilmu,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Dalam pada itu, Noraini menyifatkan inisiatif ini sebagai langkah signifikan dalam memastikan akses pendidikan yang lebih inklusif bagi pelajar yang kurang berkemampuan.
Selain program ini, FGV telah memperuntukkan kira-kira RM10.3 juta pada tahun lalu untuk pelbagai inisiatif CSR yang memfokuskan kepada pembasmian kemiskinan di bandar dan luar bandar serta menangani isu keciciran pendidikan.
Antara program yang dilaksanakan termasuk sumbangan kepada masjid dan sekolah, penyediaan buku teks digital dengan Yayasan Didik Negara, serta program latihan digital dan vokasional bagi lepasan SPM melalui kerjasama dengan Yayasan FELDA.
Program “Selamat Datang ke Sekolah 2025” inidianjurkan melalui anak syarikatnya, Delima Oil Products Sdn Bhd (DOPSB) dengankerjasama Muslim Care Malaysia (MCM), GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd (Giant Malaysia), dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).