KOTA BHARU, 27 Julai– Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) merekodkan hasil jualan berjumlah lebih RM1.2 bilion melibatkan semua cawangan pemasaran di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkipli berkata sepanjang tahun ini FAMA menyasarkan untuk menjana hasil jualan berjumlah RM2 bilion.
Berbaki tempoh kurang dari empat bulan, beliau yakin sasaran itu mampu dicapai berdasarkan prestasi semasa jualan di semua cawangan selain pelaksanaan pelbagai program termasuk penganjuran program Agro MADANI.
\”Kita ada program-program yang bermusim seperti FAMA Fest, kemudian kita ada Jualan Agro MADANI Mega, itu hampir tamat.
\”Jualan Agro MADANI tertumpu ke arah jualan di pasar tani dan pasar tani kekal. Itu kekerapannya masih belum selesai. Melalui inisiatif itu, dia dalam skala kecil sedikit namun sasaran jualan itu masih boleh diperoleh,\” kata Aminuddin kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian FAMA Fest 2024 @ Kelantan di RTC Kelantan, di sini.
Sementara itu, Aminuddin berkata krisis bekalan makanan tidak akan berlaku sepanjang musim kemarau selagi ia ditangani sebaiknya sesama agensi yang berkaitan.
Jelas beliau, sepanjang tempoh musim kemarau lalu, kebersamaan agensi berkaitan serta usahawan pantai barat dan timur sentiasa terjalin menerusi komunikasi yang baik sekali gus tidak timbul isu kekurangan bekalan makanan.