Tuesday , 24 December 2024
Home Nasional Deklarasi Kuala Lumpur ikrar sokong agenda reformasi perkhidmatan awam
Nasional

Deklarasi Kuala Lumpur ikrar sokong agenda reformasi perkhidmatan awam

Deklarasi Kuala Lumpur ikrar sokong agenda reformasi perkhidmatan awam

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bergambar bersama 14 wakil Kerajaan Negeri selepas menyaksikan deklarasi Kuala Lumpur: Tekad bersama Perkhidmatan Awam Malaysia sempena program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 23 November – Deklarasi Kuala Lumpur-Tekad Bersama Perkhidmatan Awam Malaysia menjadi tanda komitmen penjawat awam di seluruh negara untuk mendukung agenda reformasi perkhidmatan awam secara menyeluruh.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata deklarasi tersebut dilancarkan sempena Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 yang dimeterai oleh semua pentadbiran kerajaan negeri.

\”Ini adalah satu ikrar bahawa kita semua, di peringkat persekutuan dan negeri, bersatu hati untuk mengangkat martabat perkhidmatan awam yang berorientasikan kepentingan rakyat,\” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian 2TM dan konvensyen berkenaan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.

Tambah Shamsul Azri, reformasi menyeluruh akan dilaksanakan pada tahun hadapan melalui pengenalan ILTIZAM Perkhidmatan Awam, yang bakal diangkat menjadi akta peringkat Persekutuan.

\”Akta ini dirangka untuk memperkukuh struktur dan tadbir urus yang telus, memastikan tindakan dan keputusan berasaskan kepentingan rakyat. Ia juga langkah proaktif untuk mengurangkan kerenah birokrasi serta menoktahkan salah laku dan rasuah,\” katanya.

Beliau turut menyatakan, Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) akan diperkasakan bagi merealisasikan agenda reformasi perkhidmatan awam.

Antara inisiatif utama yang sedang diusahakan pasukan tersebut ialah pengenalan Pekeliling Reformasi Kerenah Birokrasi dan Pekeliling Uji Kaji Peraturan, yang bertujuan mempercepatkan proses penyampaian perkhidmatan kerajaan.

\”Pekeliling ini akan menyokong perubahan secara sistematik, menjadikan urusan dengan kerajaan lebih mudah, cepat, dan tepat,\” katanya.

Beliau turut optimis, Malaysia berada pada landasan tepat untuk menjadi sebuah negara maju dan inklusif seiring dengan matlamat ekonomi MADANI.

\”Masyarakat global semakin mengenali Malaysia serta mengagumi kepimpinan diplomasi Perdana Menteri di peringkat dunia. Negara kini diletakkan pada asas trajektori yang kukuh di peringkat nasional dan antarabangsa,\” katanya.

Related Articles

JPS komited perkukuh tebing sungai, atasi masalah hakisan
Nasional

JPS komited perkukuh tebing sungai, atasi masalah hakisan

Foto FailKUALA LUMPUR, 24 Disember– Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) terus...

Tujuh maut dalam kemalangan di Ayer Keroh
Nasional

Tujuh maut dalam kemalangan di Ayer Keroh

Kemalangan di kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan Arah Utara dari Ayer Keroh...

Enam maut nahas di Lebuhraya Utara-Selatan
Nasional

Enam maut nahas di Lebuhraya Utara-Selatan

Enam individu maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), bas...

KPDN Pulau Pinang pantau SHMMP Krismas 2024
Nasional

KPDN Pulau Pinang pantau SHMMP Krismas 2024

Exco Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Luar Bandar negeri, Datuk Rashidi Zinol /...