KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membatalkan sambutan Ambang Merdeka 2024 yang dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka pada 30 Ogos ini.
Keputusan itu dibuat sebagai tanda penghormatan kepada mangsa beberapa insiden yang berlaku di sekitar ibu negara baru-baru ini.
Menurut satu hantaran di laman Facebook DBKL, pihak berkuasa tempatan itu juga mengajak orang ramai untuk menghayati erti kemerdekaan dengan penuh semangat patriotik.
\”Pembatalan ini susulan insiden tanah jerlus yang berlaku pada Jumaat lepas di Jalan Masjid India, di mana seorang wanita warga India, Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter,\” menurut DBKL.
DBKL turut memaklumkan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah memasuki saluran kumbahan secara huluan dari lurang di Wisma Yakin.
Kerja-kerja shoring (sistem sokongan sementara) secara manual dan penggalian juga sedang dilaksanakan.
Usaha untuk mengesan mangsa menggunakan Ground Penetrating Radar (GPR) oleh Jabatan Mineral dan Geosains akan diteruskan dan disambung, hari ini.