KEMAMAN, 11 Ogos – Seorang wanita lemas, manakala tiga lagi termasuk seorang tekong dipercayai masih hilang selepas bot dinaiki sembilan individu dirempuh sebuah tongkang ketika sedang memancing ikan di perairan Kuala Kemaman, Terengganu, awal pagi tadi.
Kejadian berlaku di kedudukan tujuh batu nautika, kira-kira 13 kilometer dari perairan Kuala Kemaman.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata mangsa yang lemas hanya dikenali sebagai Siti Zamimah, 29 tahun manakala identiti sebenar kesemua mangsa sedang dikenal pasti.
Beliau berkata dalam kejadian itu, lima lagi individu lain iaitu tiga lelaki dan dua wanita berjaya menyelamatkan diri.
\”Yang terselamat adalah tekong itu sendiri, yang menyelamatkan penumpang-penumpangnya, ini adalah trip untuk pelancongan, trip untuk memancing, mereka ini dari sembilan orang, satu tekong, satu awak-awak manakala tujuh adalah mereka yang menyewa bot ini untuk trip memancing,\” katanya.
Hanyan berkata, kejadian dikatakan berlaku apabila bot dinaiki mereka yang sedang bersauh dipercayai dilanggar secara tiba-tiba oleh sebuah tongkang.
Perlanggaran itu telah menyebabkan bot dinaiki kesemua mangsa terbalik dan kesemua mereka tercampak ke dalam air dan bot berkenaan karam.
\”Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut manakala usaha mengesan mangsa yang hilang sedang giat dilakukan pasukan mencari dan menyelamat.
\”Pihak polis juga sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk mengesan tongkang terbabit,\” katanya.