Home Nasional Anwar dijadual bertemu Presiden UAE, jadual padat hari terakhir lawatan kerja
Nasional

Anwar dijadual bertemu Presiden UAE, jadual padat hari terakhir lawatan kerja

Anwar dijadual bertemu Presiden UAE, jadual padat hari terakhir lawatan kerja

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

ABU DHABI, 14 Januari- Jadual padat menanti Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari terakhir lawatan kerjanya di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada hari Selasa, termasuk perjumpaan dengan Presiden UAE dan Pemerintah Abu Dhabi Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.

Selepas perjumpaan itu Anwar dijadual menghadiri majlis perasmian Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW) 2025 di ADNEC Center di sini.

Antara pemimpin dunia yang dijangka mengambil bahagian di ADSW ialah Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev, Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev, Presiden Kenya William Ruto, Presiden Nigeria Bola Ahmed Tinubu, Presiden Rwanda Paul Kagame, Presiden Seychelles Wavel Ramkalawan dan Presiden Uganda Yoweri Museveni.

Pemimpin lain termasuk Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev, Perdana Menteri Albania Edi Rama, Perdana Menteri Finland Petteri Orpo, Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni dan Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon.

Pada sidang Pleno ADSW, Perdana Menteri akan terlibat dalam dialog \’ASEAN\’s Interconnected Future: Linking Energy, Trade & Prosperity\’. Ia sejajar dengan tema kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 \’Keterangkuman dan Kemampanan\’.

Anwar turut dijadual menghadiri Anugerah Hadiah Kelestarian Zayed dan forum ‘Youth 4 Sustainability’.

Hari ini juga akan menyaksikan pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-UAE (CEPA), yang bertujuan membuka peluang baharu dalam perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi.

Lawatan perdana menteri ini adalah atas jemputan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, yang juga Pemerintah Dubai, untuk menghadiri ADSW 2025.

Anwar tiba di sini pada Ahad, dan ia merupakan lawatan kedua Perdana Menteri ke UAE sejak Oktober 2023, dan lawatan pertamanya ke luar negara sejak Malaysia menjadi pengerusi ASEAN 2025.

Selepas berakhir program di ADNEC Centre, Perdana Menteri dijangka berlepas ke London, United Kingdom bagi meneruskan program rasmi beliau di negara tersebut sebagai usaha untuk meningkatkan kedudukan global Malaysia dan memperkukuhkan hubungan strategik negara dengan rakan antarabangsa utama.- BERNAMA

Related Articles

Fadillah Yusof kongsi detik cemas gegaran gempa bumi di Turkiye
Nasional

Fadillah Yusof kongsi detik cemas gegaran gempa bumi di Turkiye

Fadillah Yusof dan rombongan diarahkan keluar dari Terminal VIP Lapangan Terbang Istanbul...

Petugas haji RTM berlepas petang ini, Salam Baitullah janjikan kelainan
Nasional

Petugas haji RTM berlepas petang ini, Salam Baitullah janjikan kelainan

Timbalan Pengarah Berita Ehwal Semasa (BES), Md Shahri Saripan (tiga dari kiri)...

Intervensi KPM: Calon tidak hadir SPM rekod penurunan
Nasional

Intervensi KPM: Calon tidak hadir SPM rekod penurunan

Sidang media pengumuman analisis keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2024 di Putrajaya...

SPNB kaji kewajaran naikkan harga RMR, kesan kos barang binaan
Nasional

SPNB kaji kewajaran naikkan harga RMR, kesan kos barang binaan

Foto FailBANDARAYA MELAKA, 24 April– Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) mengkaji kewajaran...