BANGI, 3 Ogos- Pelajar tahun dua Sarjana Muda Sains Fizik dengan Kepujian, Fakulti Sains (FS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Ahmad Danish Iskandar Mohd Fadzil, 21, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Putra Ikon (API) UPM bagi tahun ini.
Anak sulung daripada tujuh beradik itu berkata, kejayaan tersebut tidak akan diperoleh tanpa doa daripada ibu bapanya.
\”Anugerah ini sebenarnya untuk membanggakan ibu dan ayah saya kerana saya yakin kejayaan ini tidak akan datang tanpa doa-doa mereka. Saya juga ingin menjadikan kejayaan ini sebagai contoh teladan yang baik buat adik-adik saya,\” katanya di sini.
Kejayaan berkenaan membolehkannya membawa pulang wang tunai RM1,000, trofi kemenangan dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo.
Sementara itu, Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, kecemerlangan dan keunggulan diri yang baik yang harus diikuti oleh semua pelajar.
\”Apabila seorang pelajar cemerlang, ia menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk turut sama mencapai kecemerlangan. Oleh itu, adalah penting bagi kita untuk mencari inspirasi,\” katanya.
Dalam pada itu, API tahun ini memperlihatkan FS UPM memperoleh pencalonan tertinggi bagi kategori fakulti dengan 12 permohonan, sekali gus membolehkan fakulti tersebut memperoleh wang tunai RM1,000.
Dekannya, Prof. Madya Dr. Nor Azwady Abd Aziz berkata, pihaknya sentiasa berusaha untuk memotivasikan pelajar terutama dalam program berkaitan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) dan melibatkan pelajar yang menganjur program berkenaan menyertai mesyuarat pengurusan.
\”Kami berusaha membantu dari segi kewangan dan pelbagai aspek lain yang diperlukan. Itulah sebabnya setiap program pelajar, kita akan minta mereka untuk terlibat dalam mesyuarat pengurusan.
\”Di mesyuarat ini, ia menjadi platform penting di peringkat fakulti untuk kita bersama-sama melihat dan membuat penambahbaikan yang diperlukan.
“Saya sangat mengharapkan agar pelajar sentiasa bermotivasi dan kita dapat mengukuhkan kerjasama antara fakulti, kolej, pelajar, penasihat dan semua yang terlibat dalam mengorganisasikan program-program yang berimpak besar kepada negara,” katanya.
API adalah anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) selaras dengan matlamat 1 Pelan Strategi UPM 2021-2025, melahirkan graduan berdaya tahan.
Kesemua finalis menerima sijil penghargaan dan plak yang disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ariffin Abdu.
Para finalis bersama Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo (tengah), Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah (kiri), dan Pengurusan Universiti