Saturday , 22 February 2025
Home Nasional Agong, Permaisuri berkenan berangkat ke MTQHA ke-64
Nasional

Agong, Permaisuri berkenan berangkat ke MTQHA ke-64

Agong, Permaisuri berkenan berangkat ke MTQHA ke-64

Foto JAKIM

KUALA LUMPUR, 12 Oktober– Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Antarabangsa (MTQHA) ke-64 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur malam ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah juga akan menyempurnakan pengurniaan hadiah kepada pemenang tilawah dan hafazan al-Quran pada MTQHA ke-64 yang melabuhkan tirai malam ini selepas berlangsung selama lapan hari bermula 5 Oktober lepas.

Datuk Dr. Mohd Na’im ketika Sembah Ucapan Menjunjung Kasih berkata keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua amat bermakna kepada semua.

Beliau berkata MTQHA tahun ini, yang bertema ‘Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI’, adalah ikhtiar kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyeru umat Islam agar kembali menghayati nilai-nilai Qurani.

MTQHA ke-64 anjuran Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) menampilkan 92 peserta dari 71 negara yang terdiri daripada 53 peserta tilawah dan 39 hafazan.

Johan bagi Kategori Tilawah al-Quran serta Kategori Hafazan al-Quran, masing-masing bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM40,000 daripada kerajaan berserta kepingan emas bernilai RM12,000 sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) selain menerima hadiah iringan dan sijil.

Penilaian MTQHA tahun ini melibatkan 15 hakim dari pelbagai negara selain mengekalkan beberapa hakim iaitu dari Maghribi dan Turkiye selain mengetengahkan muka baharu dari Arab Saudi dan Indonesia.

Proses penilaian pula meliputi aspek tajwid, fasahah, kualiti suara dan ingatan khususnya bagi peserta hafazan.- BERNAMA

Related Articles

Sultan Ibrahim selamat tiba selepas menjalani rawatan di luar negara
Nasional

Sultan Ibrahim selamat tiba selepas menjalani rawatan di luar negara

Foto Facebook Sultan Ibrahim KUALA LUMPUR, 22 Februari- Yang di-Pertuan Agong Sultan...

Hubungan setengah abad Malaysia-Bahrain memasuki dimensi baharu dengan lawatan Anwar
Nasional

Hubungan setengah abad Malaysia-Bahrain memasuki dimensi baharu dengan lawatan Anwar

Anwar Ibrahim/ Foto BERNAMAMANAMA, 22 Februari- Hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Bahrain...

Peniaga kedai runcit di Baling dikenakan tindakan, jual minyak bersyarat
Nasional

Peniaga kedai runcit di Baling dikenakan tindakan, jual minyak bersyarat

Foto KPDN BALING, 22 Februari– Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara...

Jejantas Tun Teja, ikon pelancongan Melaka yang baharu
Nasional

Jejantas Tun Teja, ikon pelancongan Melaka yang baharu

Foto FB Ab Rauf YusohPERINGGIT, 22 Februari– Jejantas Melaka Sentral kini dikenali...