SUNGAI PETANI, 21 April – Seramai351,808 murid di 752 buah sekolah rendah dan menengah di Kedah mula memakai lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam masing-masing, hari ini.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah Ismail Othman berkata, pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam sekolah bertujuan meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan murid dan warga sekolah serta memupuk perpaduan antara murid dari pelbagai kaum, budaya dan latar belakang di Malaysia.
Selain itu, ia juga bermatlamat bagi menonjolkan identiti kebangsaan, mewujudkan sikap bertanggungjawab dan berdisiplin serta mewujudkan perasaan bangga dan tanda penghormatan terhadap negara.
Beliau berkata, pemakaian lencana itu juga selaras dengan hasrat murni Malaysia MADANI melahirkan sebuah negara yang dibina atas nilai kemanusiaan, kemajuan dan kesejahteraan.
\”Dengan memakai lencana ini, kita bukan sahaja menyemarakkan semangat kenegaraan, tetapi juga menyemai benih nilai Karamah Insaniah dalam diri kita, iaitu kemuliaan insan dari sudut akhlak, ilmu, empati dan amanah. Sebagai rakyat Malaysia, kita harus menjiwai nilai-nilai kebangsaan yang terkandung dalam lencana Jalur Gemilang.
\”Setiap jalur dan warna membawa mesej yang mendalam tentang perpaduan, keharmonian, keberanian dan kedaulatan,\” Ismail berucap pada Majlis Simbolik Pemakaian Lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid peringkat Negeri Kedah di Sekolah Menengah Kebangsaan, SMK Ibrahim, di sini. Majlis dirasmikan oleh Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari.
Beliau berkata, majlis yang diadakan hari ini merupakan satu komitmen bersama bagi memastikan semangat patriotisme dan cinta akan negara dalam kalangan murid dan warga pendidik terus kekal dan subur.
\”Saya berharap agar setiap murid dapat memakai lencana ini dengan penuh rasa bangga dan amanah. Oleh itu, lencana ini merupakan ikon bahawa kita ialah duta kecil kepada negara dan pencorak kepada masa depan Malaysia kerana pemuda harapan bangsa pemudi tiang agama. Sebagai rakyat Malaysia, kita harus menjiwai nilai- nilai kebangsaan yang terkandung dalam lencana Jalur Gemilang,\” katanya.
Beliau berkata, setiap jalur dan warna membawa mesej yang mendalam tentang perpaduan, keharmonian, keberanian dan kedaulatan.
\”Seperti peribahasa Melayu, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Kita mestilah menghormati dan menyayangi tanah air ini dengan sepenuh hati,\” katanya lagi.