Saturday , 16 November 2024
Home Nasional 180,000 pelajar baharu terima pembiayaan PTPTN setiap tahun
Nasional

180,000 pelajar baharu terima pembiayaan PTPTN setiap tahun

180,000 pelajar baharu terima pembiayaan PTPTN setiap tahun

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Julai- Kira-kira 180,000 pelajar baharu setiap tahun menerima manfaat bantuan pembiayaan kewangan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kata Ketua Eksekutifnya Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Beliau berkata agensi itu merupakan penyelamat dan penyumbang kewangan yang besar kepada anak bangsa dalam mencapai cita-cita selain memberi peluang kepada mereka untuk meningkatkan taraf hidup keluarga, bangsa, dan negara.

“Hampir 50 peratus daripada kira-kira 350,000 pelajar yang diterima masuk ke institusi pengajian tinggi (IPT) setiap tahun menerima pinjaman PTPTN. Pada awal penubuhan PTPTN, hanya sekitar 27,000 peminjam sahaja yang mendapat tajaan.

“Selepas 27 tahun, PTPTN telah mencapai kematangan dalam memastikan tiada pelajar tercicir daripada melanjutkan pendidikan di IPT disebabkan masalah kewangan,” katanya ketika menjadi tetamu program POV: Perspektif Bukan Persepsi musim kedua di Bernama Radio bersama penganalisis jenayah Kamal Affandi Hashim, baru-baru ini.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperkenalkan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) pada 1999 dengan jumlah RM1,000, yang kini telah meningkat kepada RM1,500 sebagai persediaan untuk pelajar sebelum mendaftar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan politeknik.

Menurut Ahmad Dasuki, PTPTN berusaha untuk mengubah persepsi masyarakat supaya tidak hanya dilihat sebagai pemberi pinjaman dan pengutip hutang tetapi sebagai tabung pendidikan untuk rakyat Malaysia.

Beliau berkata pada 2004, produk pertama Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) yang kini dikenali sebagai Simpan SSPN Prime dilancarkan dan pada 2015, Simpan SSPN-i Plus pula diwujudkan.

Simpan SSPN Prime menawarkan Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 bagi keluarga yang layak, iaitu ibu bapa yang mempunyai pendapatan bulanan tidak melebihi RM4,000.

”Persepsi terhadap PTPTN sebagai tabung simpanan telah meningkat sejak dua hingga tiga tahun lepas melalui promosi dan penerangan yang giat dijalankan, termasuk turun padang ke setiap sekolah.

“Geran Sepadan ini adalah insentif kewangan yang ditawarkan kepada anak-anak yang diterima dan mendaftar masuk ke mana-mana IPT diiktiraf oleh kerajaan,” kata Ahmad Dasuki.

Beliau berkata PTPTN membantu masyarakat membuat perancangan kewangan untuk pendidikan seawal usia anak-anak, yang akhirnya dapat melahirkan graduan tanpa hutang melalui Simpan SSPN.

“Dengan instrumen simpanan diwujudkan oleh PTPTN, masalah keciciran dalam kalangan pelajar yang ingin melanjutkan pengajian dapat diatasi kerana produk simpanan ini juga menawarkan perlindungan takaful secara percuma,” katanya.

Ahmad Dasuki menegaskan bahawa usaha PTPTN tidak akan berhenti dengan misi utama mereka untuk menggalakkan penabungan, bagi memastikan anak-anak tidak dibebani hutang setelah tamat pengajian sekali gus mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman.

Sementara itu, Kamal Affandi berkata perancangan kewangan keluarga dalam aspek pengurusan kewangan dan pendidikan adalah amat penting dalam sebuah institusi kekeluargaan.

“Pendidikan adalah jalan keluar daripada kesusahan dan kemiskinan. Simpanan juga merupakan langkah terbaik dan penting untuk setiap keluarga. Jadi, kedua-duanya (pendidikan dan simpanan) amat penting untuk masa depan anak-anak dan keluarga,” katanya.- BERNAMA

Related Articles

Malaysia tumpu pemusatan ASEAN selaku Pengerusi ABAC tahun depan
Nasional

Malaysia tumpu pemusatan ASEAN selaku Pengerusi ABAC tahun depan

Foto RTMLIMA, 15 November-Malaysia selaku Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan Asean (ABAC) tahun...

Lebih 500 calon SPM sertai Program TRIPs
Nasional

Lebih 500 calon SPM sertai Program TRIPs

FOTO FCoEEKANGAR, 15 November- Seramai 509 orang pelajar dari 25 buah sekolah...

PM adakan pertemuan dengan Google di luar Sidang Kemuncak APEC
Nasional

PM adakan pertemuan dengan Google di luar Sidang Kemuncak APEC

Foto Facebook anwaribrahimofficialLIMA,15 November- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan mengadakan...

PM sumbang 50 naskah al-Quran kepada Persatuan Islam Peru
Nasional

PM sumbang 50 naskah al-Quran kepada Persatuan Islam Peru

Foto PMOLIMA, 15 November–Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan 50...