KUALA LUMPUR, 27 April – Seramai 133 pegawai dan anggota menyertai Perbarisan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-91 peringkat Lembah Klang yang berlangsung penuh istiadat di Padang Kawad KD Sri Gombak, hari ini.
Jurucakap Bahagian Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut Kuala Lumpur berkata, istiadat perbarisan yang bermula pada pukul 8.00 pagi itu telah disempurnakan oleh Timbalan Inspektor Jeneral Markas Tentera Laut, Laksamana Pertama Rosli Abd Ghani, selaku Pegawai Penerima Tabik Hormat.
Beliau turut menyampaikan Perutusan Hari TLDM ke-91 bagi mewakili Panglima Tentera Laut.
“Perbarisan ini diketuai oleh Komander Harulizam Haron selaku Komander Perbarisan, dibantu Pegawai Waran I PRL Mohd Harmizie Mohd Fawzli sebagai Pegawai Waran Perbarisan.
“Sebanyak enam platun, terdiri daripada 28 pegawai dan 105 anggota lain-lain pangkat, telah menyertai perbarisan ini,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada Pancaragam Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang turut menjayakan acara perbarisan berkenaan.
Menurutnya, selain acara perbarisan yang disambut serentak di semua markas, formasi dan unit TLDM di seluruh negara, sambutan tahun ini turut memperkasa nilai kerohanian melalui pelaksanaan Majlis Bacaan Yasin, Doa Selamat serta Khutbah Khas Jumaat.
“Ia sebagai penghormatan kepada wira dan wirawati TLDM yang telah gugur, termasuk dengan mengadakan majlis tahlil bagi memperingati wira-wira yang terkorban dalam insiden nahas helikopter tahun lalu.
“TLDM kekal komited menjaga kedaulatan perairan negara tercinta melalui pembangunan dan pemodenan aset, latihan kepakaran berterusan serta sentiasa bersiap siaga menghadapi ancaman semasa dengan kerjasama serantau,” katanya.
Upacara tahunan ini diadakan bagi meraikan penubuhan TLDM pada 27 April 1934, yang disambut sebagai simbol kesetiaan, kesiapsiagaan dan komitmen TLDM dalam mempertahankan kedaulatan maritim negara, selaras dengan tema ‘TLDM Perkasa, Kedaulatan Terpelihara’.
Sambutan ini juga sebagai penghargaan terhadap sumbangan para veteran dan warga ‘Navy People’ yang menjadi tunjang kecemerlangan TLDM sepanjang 91 tahun penubuhannya.