Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 16 Jun (Livevartha) — Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin,disokong oleh Indeks Dolar AS (DXY) yang lebih lemah apabila susut 0.21 peratus kepada 97.979 mata berikutan ketidaktentuan yang memuncak, kata pakar ekonomi.
Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2370/2450 berbanding dolar AS daripada 4.2435/2480 ketika ditutup pada Jumaat lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata krisis ketenteraan yang berterusan antara Israel dan Iran terus menjadi tumpuan pasaran ketika para pelabur sedang menunggu mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC) yang dijadualkan pada 17 dan 18 Jun.
“Euro, pound British dan krona Sweden semakin meningkat berbanding dolar AS, manakala mata wang pasaran yang sedang pesat membangun mengalami prestasi tidak menentu dengan pergerakan dolar-ringgit beradadalam julat kecil.
“Pada sesi pagi, USD/MYR bermula pada paras RM4.2513 namun meningkat kepada sekitar RM4.2450 pada sebelah petang,” katanya kepada Livevartha.
Beliau berkata harga minyak mentah Brent kini berada pada sekitar US$73.84 setong, menandakan pasaran minyak mentah agak stabil hari ini berbanding Jumaat lepas apabila mencecah kira-kira US$77 pada dagangan harian.
“Sentimen pasaran dijangka kekal berhati-hati sementara pelabur dan peniaga memantau perkembangan krisis ketenteraan itu,” katanya.
Mohd Afzanizam berkata risiko negatif terhadap pertumbuhan ekonomi kini semakin ketara.