Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 5 Jun (Livevartha) — Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS pada Khamis dalam keadaan data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lemah daripada jangkaan dan ketidaktentuan tarif AS, kata penganalisis.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2410/2495 berbanding dolar AS daripada 4.2435/2490 semasa ditutup pada Rabu.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) menyusut sebanyak 0.44 peratus kepada 98.787 mata berikutan petunjuk ekonomiyang lebih lemah berbanding jangkaan.
Beliau berkata Indeks Institut Pengurusan Bekalan (ISM) AS bagi sektor perkhidmatan susut di bawah 50 mata kepada 49.9 pada Mei, berbeza dengan anggaran konsensus 52.0 mata.
"Berdasarkan maklum balas tinjauan oleh ISM, tarif import merupakan punca utama ketidaktentuan dalam kalangan perniagaan kerana ia telah menaikkan harga bahan mentah, dan sesetengah pembekal menangguhkan inventori kerana ketidaktentuan tarif.
"Ini mungkin membawa kepada pengukuhan mata wang negara pesat membangun berikutan peniaga dan pelabur akan menilai semula kekuatan ekonomi AS.
“Sehubungan itu, data senarai gaji bukan ladang yang akan diumumkan pada Jumaat akan menjadi satu lagi petunjuk penting untuk dinilai," katanya kepada Livevartha.
Beliau berkata mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan pada 16 hingga 17 Jun ini juga adalah satu lagi peristiwapenting berikutan kakitangan Rizab Persekutuan AS akan mengeluarkan unjuran makroekonomi terkini untuk tempoh tiga tahun akan datang.