KUALA LUMPUR, 11 Dis (Livevartha) — Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi pada Rabu didorong oleh kenaikan dalam pasaran niaga hadapan getah serantau dan harga minyak mentah, kata seorang peniaga.
Katanya, sentimen pasaran mendapat rangsangan daripada gangguan berpanjangan bekalan getah asli disebabkan hujan lebat dan banjir di Thailand, selain jualan kereta yang menggalakkan dari China.
\”Thailand sedang berdepan dengan gelombang kedua hujan lebat dan potensi berlakunya banjir di wilayah selatan bermula 12 Dis hingga 16 Dis, 2024,\” katanya kepada Livevartha.
Sementara itu, beliau berkata harga minyak meningkat lebih tinggi pada Rabu, dipengaruhi oleh langkah rangsangan yang optimis di China, pengimport minyak terbesar dunia ketika peniaga menunggu maklumat lanjut mengenai ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan data inventori minyak.
Pada 5 petang, harga minyak mentah Brent meningkat 0.26 peratus kepada US$72.43 setong.
\”Mengikut data awal yang dikeluarkan oleh Persatuan Kereta Penumpang China (CPCA), jualan runcit kenderaan penumpang di China meningkat 18 peratus tahun ke tahun kepada 2.45 juta unit pada November 2024.
\”Sementara, jualan global bagi kenderaan penumpang buatan China meningkat 15 peratus tahun ke tahun kepada 2.943 juta unit pada November 2024,\” katanya.
Mengikut Lembaga Getah Malaysia, harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) melonjak 10.0 sen kepada 910.50 sen sekilogram, manakala lateks pukal menokok 2.5 sen kepada 695.00 sen sekilogram.
Pada 5 petang, SMR 20 berada pada 915.50 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 698.00 sen sekilogram.