KUALA LUMPUR, 10 Dis (Livevartha) — Bursa Malaysia rendah pada tengah hari ini berikutan akitviti jualan yang berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih terutamanya dalam sektor telekomunikasi dan media, utiliti dan perkhidmatan kewangan.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 2.03 mata atau 0.13 peratus kepada 1,609.40 daripada 1,611.43 semalam. Ia dibuka tinggi 1.22 mata kepada 1,612.65.
Indeks bergerak antara 1,607.88 dan 1,615.93 sepanjang sesi dagangan pagi.
Bagaimanapun, suasana pasaran positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 445 berbanding 435 manakala 526 kaunter tidak berubah, 1,070 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.
CelcomDigi merosot 6.0 sen kepada RM3.59, Petronas Gas berkurangan 32 sen kepada RM17.38 dan Public Bank susut 3.0 sen kepada RM4.51. Kaunter ini menyebabkan indeks komposit merosot dengan gabungan 3.27 mata.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, susulan berita bahawa gelombang kedua banjir dijangka melanda negara, pihaknya percaya akan ada lebih banyak turun naik dagangan bagi kaunter perladangan berikutan banjir dijangka meningkatkan harga minyak sawit mentah (MSM) disebabkan kebimbangan mengenai bekalan.
\”Peniaga juga boleh mencari peluang dalam industri pusat data di bawah sektor teknologi seperti penyelesaian IT, keselamatan siber, pemacu cakera keras, perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) serta pemasangan dan ujian semikonduktor yang disumber luar didorong oleh permulaan pembinaan pusat data pada awal tahun ini.
\”Selain itu, dalam kita semakin menuju akhir tahun, impak daripada aktiviti memperelokkan akaun dijangka berlaku pada kaunter saham mewah tertentu,\” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CIMB merosot 4.0 sen kepada RM8.14, Maxis susut 5.0 sen kepada RM3.45, MR D.I.Y. berkurangan 4.0 sen kepada RM1.82 manakala Petronas Chemicals meningkat 29 sen kepada RM5.10 dan Axiata menambah 4.0 sen kepada RM2.40.