Oleh Anas Abu Hassan and Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 28 Jun (Livevartha) — Bursa Malaysia dijangka diniagakan berhati-hati minggu depan, namun dengan kecenderungan meningkat berikutan sentimen pasaran yang konstruktif ketika pelabur mengalihkan tumpuan mereka daripada risiko di Timur Tengah, menurut penganalisis.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes yakin pelabur akan tertumpu untuk menilai data makroekonomi yang akan dikeluarkan sambil menunggu tempoh akhir bagi penangguhan tarif balas Amerika Syarikat.
“Bagaimanapun, kemungkinan untuk tempoh penangguhan ini dilanjutkan semakin meningkat berikutan gangguan geopolitik terbaru,” katanya kepada Livevartha sambil memaklumkan sentimen pasaran turut disokong oleh potensi penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan dalam mesyuarat pada Julai ini.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng mengekalkan pandangan optimis namun berhati-hati terhadap prospek jangka pendek FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berikutan indeks berkenaan menunjukkan isyarat momentum kenaikan.
“Kami yakin pencapaian melepasi paras 1,530, disokong oleh jumlah dagangan yang kukuh dan pergerakan harga yang berterusan akan menjadi isyarat konstruktif bahawa pasaran bersedia untuk meneruskan kenaikan seterusnya,” katanya.
Pada minggu hadapan, Thong yakin tumpuan pasaran akan terarah kepada beberapa pengumuman data makroekonomi utama di peringkat tempatan dan antarabangsa.
"Dalam masa terdekat, kami menjangkakan FBM KLCI akan didagangkan dalam julat 1,510 hingga 1,540," katanya.
Pada asas mingguan, indeks barometer meningkat 25.42 mata kepada 1,528.16 daripada 1,502.74 pada minggu sebelumnya.