Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 20 Feb (Livevartha) — Bursa Malaysia ditutup rendah untuk hari kedua berturut-turut pada Khamis, dipengaruhi oleh penyusutan beberapa saham wajaran tinggi berkaitan Petronas, syarikat telekomunikasi dan perbankan terpilih, menggambarkan sentimen berhati-hati yang terus memberi kesan terhadap pasaran serantau.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.21 mata atau 0.20 peratus kepada 1,577.67 berbanding 1,580.88 semasa ditutup pada Rabu.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 0.26 mata kepada 1,580.62 dan bergerak antara 1,572.51 hingga 1,581.49 sepanjang hari dagangan.
Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 644 berbanding 347 manakala 525 kaunter tidak berubah, 824 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan susut kepada 3.15 bilion unit bernilai RM2.43 bilion berbanding 3.42 bilion unit bernilai RM2.65 bilion semalam.
Ketua Penyelidikan Apex Securities Bhd Kenneth Leong berkata kebimbangan yang meningkat terhadap cukai yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) serta sentimen kecenderungan menaikkan kadar faedah yang disuarakan Rizab Persekutuan AS mengakibatkan pelabur mengelak daripada pasaran saham di pasaran negara membangun.
“Kami mengekalkan pandangan kami bahawa ketidakstabilan akan terus wujud di tengah-tengah ketidaktentuan daripada kejutan tarif luar.