Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 3 Mac (Livevartha) — Bursa Malaysia ditutup rendah untuk hari ketiga berturut-turut hari ini memandangkan pelabur terus berhati-hati menjelang pengumuman mengenai dasar perdagangan utama daripada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 3.31 mata atau 0.21 peratus kepada 1,571.39 daripada 1,574.70 semasa ditutup pada Jumaat lepas.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 2.43 mata kepada 1,572.27, dan bergerak antara 1,568.59 dan 1,580.80 sepanjang hari dagangan.
Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 707 berbanding 354 manakala 425 kaunter tidak berubah, 831 tidak diniagakan dan enam yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan menyusut kepada 3.18 bilion unit bernilai RM2.44 bilion daripada 4.39 bilion unit bernilai RM6.45 bilion pada Jumaat lepas.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata keputusan yang semakin hampir mengenai tarif AS yang menyasarkan Kanada, Mexico dan China telah meningkatkan ketidakpastian pasaran, mendorong pelabur untuk mengurangkan dedahan kepada ekuiti berikutan peningkatan risiko geopolitik.
"Walaupun pertikaian perdagangan ini melibatkan terutamanya AS dan China, kesan limpahan terus mempengaruhi sentimen pasaran tempatan dan dedahan perdagangan Malaysia," katanya kepada Livevartha.
Beliau berkata dengan ketegangan perdagangan yang semakin meningkat dan ketidakpastian dasar yang berterusan, peserta pasaran dijangka terus berhati-hati, lebih cenderung untuk mengambil kedudukan defensif dan mencari peluang terpilih dalam sektor yang berdaya tahan terhadap kejutan luar.