KUALA LUMPUR, 5 Sept (Livevartha) — Aktiviti belian saham semasa harga rendah mendorong Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pada Khamis selepas menyusut semalam menjelang pengumuman oleh Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia hari ini.
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.09 mata kepada 1,673.33, menokok daripada 1,670.24 semasa ditutup pada Rabu. Indeks utama dibuka 0.31 mata lebih tinggi kepada 1,670.55.
Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 150 berbanding 126, dengan 239 kaunter tidak berubah, 1,940 tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan berjumlah 122.28 juta unit bernilai RM84.87 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, Wall Street ditutup bercampur-campur semalaman menjelang laporan senarai gaji bukan ladang AS esok.
Dow Jones mencatat pemulihan sederhana dengan menokok 38 mata manakala Nasdaq mengurangkan penyusutannya apabila berkurangan 52 mata semasa ditutup semalam, dengan pemain pasaran terus menjangkakan penurunan kadar lebih besar semasa mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) AS akan datang.
"Di dalam negara, kami mendapati beberapa aktiviti belian semasa harga rendah terhadap saham mewah memandangkan indeks itu dilihat menerima sokongan baik pada paras semasa. Oleh itu, kami menjangkakan indeks itu berlegar dalam jajaran 1,670-1,680 hari ini," katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM10.80, Public Bank menokok dua sen kepada RM4.78 dan CIMB melonjak 11 sen kepada RM8.32. Tenaga Nasional dan IHH Healthcare masing-masing menambah enam sen kepada RM14.96 dan RM6.45.
Bagi kaunter aktif, Steel Hawk yang baru disenaraikan mendahului apabila melonjak 130 peratus atau 19.5 sen kepada 34.5 sen. TWL menambah setengah sen kepada 3.0 sen, YTL Power turun 21 sen kepada RM3.68, YTL susut 13 sen kepada RM2.87 dan Hextar Capital meningkat 1.5 sen kepada 41 sen.