Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 29 April (Livevartha) –Bursa Malaysia dibuka sedikit rendah pada Selasa berikutan pengambilan untung selepas kenaikan yang dialami bursa tempatan baru-baru ini.
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.62 mata kepada 1,519.97 daripada 1,521.59 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 0.61 mata lebih rendah kepada 1,520.98.
Lingkungan pasaran adalah negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 115 berbanding 105, manakala 219 kaunter tidak berubah, 2,001 kaunter tidak diniagakan dan 117 yang lain digantung.
Jumlah dagangan 85.49 juta saham bernilai RM35.33 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata Bursa Malaysia ditutup pada paras tertinggi harian semalam, menandakan sesi keempat berturut-turut merekodkan kenaikan.
Sehubungan itu, pelabur melalukan aktiviti pengambilan untung selepas bursa meningkat selama beberapa hari, katanya kepada Livevartha.
Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd pula menjelaskan pelabur akan memantau Tinjauan Tawaran Pekerjaan dan Pemberhentian Kerja (JOLTS) Amerika Syarikat (AS) bagi Mac serta keyakinan pengguna AS bagi April yang akan dikeluarkan oleh Conference Board lewat hari ini untuk menentukan pergerakan pasaran.